Insiden Zara Qairina boleh dielak jika aduan diambil tindakan - Saksi

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU – Penolong Ketua Disiplin sebuah sekolah menengah agama mengakui bahawa insiden kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, berkemungkinan dapat dielakkan sekiranya tindakan sewajarnya diambil oleh pihak sekolah selepas aduan dibuat pada Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh saksi ke-54, Nurul Syahada Ibrahim ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Bagaimanapun saksi itu menegaskan dalam keterangannya bahawa beliau tidak pernah menerima aduan berkaitan gangguan buli melibatkan Zara Qairina, kecuali satu laporan gangguan seksual yang dibuat pada 14 Mac.

“Pertama sekali, kami memang tidak pernah menerima aduan mengenai Zara. Kalau perkara ini sampai kepada kami, pasti akan disiasat dengan serta-merta.

“Namun begitu, saya dengan yakin memberitahu bahawa usrah puteri merupakan satu medium untuk kami guru disiplin bersemuka sendiri dengan pelajar puteri serta mengingatkan mereka tentang adab-adab yang perlu dipatuhi setiap masa.

“Bagaimanapun, apa sahaja yang berlaku, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menangani perkara ini dengan sebaiknya,” tegasnya.

Dalam prosiding sama, beliau turut memaklumkan mengenai maklumat yang diterima ketika menemubual seorang pelajar senior, dikenali sebagai Kak M.

“Semasa saya menemubual Kak M, pelajar ini memaklumkan bahawa adiknya telah digelar, atau boleh saya katakan menjadi mangsa ‘body shaming’ dengan panggilan ‘chipsmore’ kerana mempunyai tahi lalat yang besar di atas mulut.

“Gelaran ini, menurut pelajar tersebut, diberikan oleh Zara dan Pelajar A,” dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

 

 

Ringkasan AI

  • Penolong Ketua Disiplin sekolah menengah agama akui insiden kematian Zara Qairina dapat dielak dengan tindakan sewajarnya setelah aduan Mac lalu
  • Saksi Nurul Syahada Ibrahim tidak pernah terima aduan buli Zara kecuali laporan gangguan seksual pada 14 Mac
  • Usrah puteri adalah medium untuk guru disiplin berinteraksi dengan pelajar puteri dan mengingatkan tentang adab-adab
  • Maklumat dari pelajar senior mengenai adiknya menjadi mangsa body shaming dengan panggilan 'chipsmore' oleh Zara dan Pelajar A
  • Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di HQEI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!