Timbunan sampah kini hambat pemulihan Hatyai

Barangan rosak dikumpul di Sekolah Hatyaiwittayalaisomboonkulkanya yang sebelum ini dilanda banjir di daerah Hatyai, Songkhla.
Barangan rosak dikumpul di Sekolah Hatyaiwittayalaisomboonkulkanya yang sebelum ini dilanda banjir di daerah Hatyai, Songkhla.
A
A
A

HATYAI – Timbunan sampah yang mencecah lebih 11,000 tan kini menjadi cabaran terbesar dalam operasi pembersihan pasca banjir di Hatyai, Songkhla, ketika angka korban banjir di selatan Thailand terus meningkat kepada 170 orang pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran, Surin Worakitthamrong, sebanyak 60 lori sampah dan lebih 80 petugas telah dikerah ke kawasan terjejas.

Setakat dua hari lalu, hanya 1,750 tan berjaya dikumpul, manakala ribuan tan lagi masih berselerak di Hatyai, Songkhla, Ban Phru dan Sadao.

Penduduk terus mengeluarkan barangan rosak dari rumah bagi memberi ruang kerja pembersihan lumpur, namun bekalan air dan elektrik masih belum dipulihkan sepenuhnya.

Longgokan perabot, barangan musnah dan bangkai haiwan menyebabkan bau busuk yang kuat di kawasan komersial utama Hatyai.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan banjir masih berterusan di sembilan wilayah selatan, selain 11 wilayah di utara dan Dataran Tengah, walaupun paras air kini beransur surut.

Operasi pembersihan difokuskan di jalan utama, pusat perniagaan dan komuniti besar, namun banyak lorong kecil masih gagal ditembusi akibat sisa runtuhan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengagihkan peralatan perlindungan, bahan pembersih dan panduan kesihatan kepada penduduk bagi mengelakkan jangkitan kulat serta penyakit bawaan air.

Data rasmi menunjukkan Songkhla mencatat korban tertinggi iaitu 131 orang, dengan ratusan lagi cedera di seluruh wilayah selatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Raja Thailand turut menyumbang 50 dron bagi membantu operasi mencari mangsa dan mengagihkan makanan di kawasan yang masih terputus akses.-Agensi

Ringkasan AI

  • Timbunan sampah mencecah lebih 11,000 tan menjadi cabaran terbesar dalam operasi pembersihan pasca banjir di Hatyai, Songkhla
  • Sebanyak 60 lori sampah dan lebih 80 petugas dikerah untuk operasi pembersihan
  • Hanya 1,750 tan sampah berjaya dikumpul setakat dua hari lalu
  • Bekalan air dan elektrik masih belum dipulihkan sepenuhnya di kawasan terjejas
  • Banjir masih berterusan di sembilan wilayah selatan Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!