'Jangan kecam mereka, dalam wad mereka semua baik'

Paparan Facebook Zulaikha tular di laman sosial.
Paparan Facebook Zulaikha tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jururawat berharap netizen berhenti mengecam peserta ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Zulaikha Zaki berkata, para peserta ijtimak tabligh yang dimasukkan ke hospital sentiasa dihormati kerana mereka menjaga kelakuan dan mendengar kata.

"Jangan kecam mereka. Dalam wad, mereka semua baik. Sangat dengar kata.

"Kita kecam orang alim dalam kita tak sedar, bila akhir zaman ni ALLAH tarik manusia dari golongan baik, arif dengan ilmu agama dulu." katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ini, beliau ditugaskan di wad isolasi bagi rawatan dan pemantauan lanjut pesakit Covid-19.

Tambahnya, mereka (peserta tabligh) telah berusia malahan hanya menggunakan telefon bimbit biasa tanpa talian internet.

"Contoh wad saya sendiri majoriti mereka telah berusia ada, telefon bimbit yang tiada aplikasi WhatsApp untuk komunikasi atau info. Bagi golongan ni cukup bagi mereka kalau boleh menerima panggilan dari keluarga sahaja.

"Saya pun tak faham kenapa nak menyalahkan golongan tabligh tentang isu ni sedangkan golongan tabligh sedri mangsa keadaan. Mereka datang dari banyak negara Brunei, Indonesia, Kemboja. Niat mereka untuk beribadat.

Artikel Berkaitan:

"Semua pesakit (tabligh) ini, lepas disaring Covid-19 dan disahkan positif, terus masuk ke wad. Semua mendengar nasihat dari kami. Dalam wad masih beribadat. Mereka bukan degil seperti yang dikatakan oleh orang ramai." jelasnya.

Dalam ada itu, beliau juga berkongsi surat tulisan tangan yang diterimanya dari bekas pesakit tabligh yang dirawatnya.

"Pesakit ni telah sembuh dan keluar hospital pada 25 Mac lalu.

"Sebelum pulang dia selitkan suratnya dicelahan kertas di kaunter wad, mungkin tidak mahu bagitahu sesiapa pun.

"Mungkin juga dia tahu tak boleh sentuh atau bagi kami apa-apa barang termasuk kertas." katanya.

Zulaikha tidak menyangka akan menerima surat itu dan berasa terharu.

"Isi kandungan surat itu memberitahu mereka sangat menghargai pengorbanan petugas perubatan yang menjaga mereka.

"Mereka juga berkongsi amalan doa untuk kami amalkan. Mereka sangat baik malah mendoakan kami sentiasa dalam rahmat ALLAH, diberi sihat afiat, dimudahkan segala urusan begitu juga buat keluarga kami." katanya.

Dalam pada itu, ketika ini, seramai 30 pesakit ditempatkan di wad tersebut dan wad berkenaan juga ditutup kerana tidak dibenarkan sesiapa melawat.

Sebelum ini tular di laman sosial surat dari bekas pesakit Covid-19 yang merupakan seorang tabligh mencuri perhatian ramai.

Isi kandungan surat itu seperti tertera di bawah.

"Assalamualaikum semua pejuang-pejuang yang kami sayangi sentiasa. Kami akan sentiasa ingat pengorbanan jihad anda sebab pantau kesihatan kami selama kami berada di wad 56 tingkat 5. Selamanya anda pejuang-pejuang layan kami dengan penuh kasih sayang.

Tujuan saya tulis ini ialah nak share beberapa amalan untuk pejuang semua. Sebab kami kasihan dan sedih lihat pengorbanan anda semua.

Kami tahu anda letih dan bertarung nyawa untuk rawat kami. Anda pun ada family yang nak diuruskan tapi anda tetap bagi senyuman kat kami. Anda sembunyikan letih dan risau anda daripada kami.

(Kami tahu anda sembunyikan letih dan risau anda. Kami doakan anda semua kuatkan semangat, untuk Allah dan Rasul. Sentiasa dalam rahmat Allah, diberi sihat afiat, dimudahkan segala urusan begitu juga buat family anda semua. Allahumma Amin.

Amalan yang ulama kongsi kat kita:

Baca surah taghabun (surah 64, juz 28) sampai habis (Ayat 1-18 beserta makna) setiap pagi, kalau sibuk cari masa free, sebaiknya dibaca pagi.

Mula – Selawat (3 kali), Al-Fatihah (3 kali), Al-Ikhlas (3 kali), Hasbi Allah Wani’mal Wakil (313 kali)

Tutup dengan selawat (3 kali)

Tiup ke dalam minuman, insya-Allah, Allah bagi sembuh dan jaga kita semua. Wallahua’lam."