Cubaan seludup rokok RM7.3 juta tumpas

JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 850 karton rokok dengan nilai keseluruhan RM7.32 juta.
JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 850 karton rokok dengan nilai keseluruhan RM7.32 juta.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 850 karton rokok dengan nilai keseluruhan RM7.32 juta.

Pengarah Kastam Melaka, Bakri Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil tindakan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka menahan sebuah kontena mencurigakan pada 31 Oktober 2025 di Pelabuhan Barat Klang, Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas dokumen pengikraran dagangan mendapati kontena tersebut diisytiharkan sebagai ‘850 karton komponen perabot'.

“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mendapati kontena tersebut sebenarnya mengandungi 9,794,000 batang rokok dengan nilai barang RM783,520, melibatkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM6.5 juta,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, taktik sindiket berkenaan adalah dengan membuat pengisytiharan tidak betul iaitu menyamarkan kontena sebagai membawa komponen perabot bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bakri berkata, rokok merupakan barang larangan di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 sehingga 20 kali nilai barang.

Selain itu katanya, pesalah juga boleh dikenakan denda RM500,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau menyeru orang awam membantu JKDM memerangi penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Ringkasan AI

  • JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 850 karton rokok bernilai RM7.32 juta
  • Penahanan dibuat pada 31 Oktober 2025 di Pelabuhan Barat Klang, Selangor
  • Kontena dipalsukan dokumen pengikraran sebagai '850 karton komponen perabot'
  • Pemeriksaan fizikal mendedahkan kontena mengandungi 9,794,000 batang rokok
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!