Suami isteri maut Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan

SEGAMAT – Pasangan suami isteri maut selepas kereta Ford Mustang yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, pada Isnin.
Mangsa yang terlibat dalam nahas pada kira-kira jam 2 petang itu dikenali sebagai Mohd Izuddin Harmaini, 51, yang juga pemandu dan Nur Syamimi Rosli, 36.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Segamat.
"Sebaik tiba di kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Abd Rahim Taufik berkata enam anggota bomba dengan kekuatan satu jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jelas beliau, peralatan khas digunakan untuk mengeluarkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
