Lelaki diserang beruang dalam tandas awam di barat laut Tokyo

MAEBASHI (Jepun) - Seorang lelaki diserang seekor beruang di dalam tandas awam berhampiran stesen kereta api di Wilayah Gunma, barat laut Tokyo, pada awal pagi Jumaat, lapor Agensi Berita Kyodo.
Pengawal keselamatan berusia 69 tahun itu memberitahu polis yang dia menyedari kehadiran beruang itu yang menjenguk ke dalam tandas ketika dia hendak keluar dari bangunan tandas awam itu, yang terletak di luar Stesen JR Numata.
Dia mengalami calar ringan pada kaki kanannya.
Lelaki itu terjatuh tetapi sempat melawan dengan menendang, menyebabkan beruang yang dianggarkan berukuran antara 1 hingga 1.5 meter panjang itu melarikan diri.
Dia kemudian bergegas ke pondok polis berhampiran untuk melaporkan kejadian yang berlaku kira-kira 1.20 pagi.
Operasi stesen kereta api telah tamat ketika kejadian berlaku.
Jepun mencatat peningkatan dalam kemunculan dan pertembungan dengan beruang ekoran kekurangan makanan di habitat semula jadi haiwan liar itu.
Jumlah mangsa serangan beruang dari April hingga Oktober mencecah 197 orang, menghampiri angka tahunan terburuk iaitu 219 yang direkodkan pada tahun fiskal 2023, menurut angka awal Kementerian Alam Sekitar. - Bernama/Kyodo
Ringkasan AI
- Seorang lelaki diserang beruang di tandas awam berhampiran stesen kereta api di Wilayah Gunma
- Pengawal keselamatan berusia 69 tahun itu mengalami calar ringan pada kaki kanannya setelah beruang menjenguk ke dalam tandas
- Lelaki tersebut berjaya melarikan diri selepas menendang beruang tersebut
- Operasi stesen kereta api telah tamat ketika kejadian berlaku
- Jepun mencatat peningkatan serangan beruang ekoran kekurangan makanan di habitat semula jadi haiwan itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
