Usia bukan halangan

HUSAIN AHMAD, eksekutif Continental Tyres adalah bukti nyata bahawa kesan Covid-19 yang hampir-hampir membunuhnya tidak menjadi halangan untuk menjejak Annapurna Base Camp (ABC).
Beliau seorang yang yang aktif dalam sukan luaran. Beliau banyak mendaki bukit dan gunung serta membuat trekking di banyak tempat.

Beliau pernah bersama saya dan Addanan Ghani (seorang lagi anggota tim ABC) menelusuri Gua Tempurung, dekat Ipoh, laluan bawah tanah yang mencabar dan mengambil masa lebih empat jam.
Sebahagiannya dilakukan dengan bantuan lampu suluh. Kami harus mendaki, menuruni, merangkak, membongkok dan berenang. Tetapi pada tahun 2020 beliau dijangkiti Covid-19. Beliau hampir-hampir ditidurkan. Proses pemulihannya panjang dan menyulitkan.

Bagi seseorang yang biasa berjalan melebihi 10,000 langkah sehari tiba-tiba mencungap-cungap keletihan untuk berjalan 100 meter, tentulah amat menyiksakan.
Proses pemulihan mengambiI masa lebih setahun. Beliau hanya aktif semula pada tahun 2023. Pada tahun 2024 beliau masih tidak boleh 'terbang' jauh untuk bersama-sama kami ke Lembah Lantang.

Kali ini keyakinan dan tenaganya kembali. Husain sedar bahawa paru-parunya masih belum pulih sepenuhnya. Tapi tekadnya luar biasa. Beliau berjaya menjejak ABC tanpa masalah. Malah beliau membawa sekali dua orang anaknya, Anas Sazali (23) dan Anas Syimer (20).
Sekiranya anak perempuannya mendapat cuti bulan September lalu, beliau juga akan turut serta. Malah isteri Husain juga berminat untuk ke ABC.

Moral ceritanya, usia tidak sepatutnya jadi halangan. Muda belum tentu tidak berpengalaman. Syahrulnizam, anak pendaki terkenal, Mohd Noor Mat Amin hanya 21 tahun. Tetapi beliau mula dilatih mendaki pada usia tiga tahun.
Beliau sampai di Puncak Kinabalu pada usia empat tahun. Beliau sudah sampai di Everest Base Camp (EBC) pada bukan Jun 2022, mendaki Kyajin Ri pada tahun yang sama, mendaki ABC dua kali, termasuk bersama kami dan sampai ke tasik yang kedua tertiggi di dunia, Tasik Tilicho pada bulan Mac 2024.

Sebelum mengikuti tim kami ke Lembah Langtang pada bulan September tahun lepas beliau telah menjejak Gunung Rinjani di Lombok.
Beliau merancang untuk menjadi pendaki paling muda mencecah Gunung Everest tahun ini tetapi apakan daya, tidak ada sokongan dana.
Saya melihat potensi pada Anas Sazali dan Anas Syimer seperti juga Nur Alyssha Maisara (19) yang pernah ke Lembah Lantang bersama kami dan Haida Izzaty Izyan (32) yang bersama kami ke Gunung Ledang.
Mereka adalah pendaki muda yang kuat dan hebat. Bersama-sama Zamira Mohd Akhir dan pasangan suami isteri, Mohammad Raziz Isman dan Haida
Azreena Hannie, kesemuanya awal 40-an, mereka menjadi sebahagian daripada dream team di mana-manapun cabarannya.
Sayang sekali, dua orang dari tim ke Lembah Lantang dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), A. Wahab Hamzah dan Aris Othman tidak dapat bersama kami ke ABC kali ini.

Demikian juga 'orang lama' Hamid Yahya yang walaupun berusia 75 tahun, bergerak bagaikan orang muda di Lembah Langtang. Hamid membuktikan usia bukan halangan.
Husain berusia 10 tahun lebih muda daripada saya. Di laluan ABC, kami banyak menemui mereka yang berusia 50-an dan 60-an, walaupun sebahagian besar daripada mereka dari Eropah atau Australia.
Sebahagian besar pendaki muda yang kami temui menghormati kemampuan saya. Mereka sedar betapa memenatkan pendakian itu.

Sekiranya mereka yang muda berasa letih, stamina mereka tercabar dan kekuatan mereka diuji bayangkan orang yang berusia 70-an seperti saya.
Sewaktu di tempat penginapan di ABC, saya sempat berbual dengan beberapa orang pendaki muda dari Kerala, India. Mereka bercerita tentang ibu bapa mereka yang banyaknya lebih muda dari saya. Tetapi yang mereka tanyakan sesama sendiri adalah, apakah mereka berupaya mendaki pada usia saya kelak.
Banyak anak-anak muda pendaki menanyakan soalan ini-pada saya. “How did you do it?” “Would I be able to climb the distance and height when I am 71?”
Husainlah yang selalu mempersiapkan jawapannya. Kata beliau, saya memang melakukan pendakian dan jelajah sejak muda. Dan saya berlatih hampir setiap hari. Selepas Subuh saya akan berjalan tidak kurang sejam. Ada kalanya saya masuk ke trek hutan Bukit Gasing di PJ atau Trek Tugu di KL. Latihan kunci segala-galanya.

Saya juga belajar bagaimana Husain kembali aktif setelah diancam maut oleh Covid-19. Bagi saya cabarannya bukan sahaja jantung yang kuat atau paru-paru yang stabil. Tapi juga lutut yang mantap.
Kami mengambil masa enam hari untuk ke ABC tetapi tiga hari untuk turun. Sekali lagi perjalanannya tidak mudah. Kami bermalam di Duerali, Himalaya dan Chhomrong, melangkaui tiga tempat persinggahan semasa naik.
Dari Chhomrong ke tempat kami diambil oleh kenderaan pacuan empat roda di Matkyu, perjalanannya mengambil masa enam jam.
Di Jhinnu Danda kami berdepan dengan jambatan gantung panjangnya 287 meter, yang terpanjang di laluan trek ABC, juga salah terpanjang di Nepal.
Jambatan gantung ini merentangi lembah yang dalam di mana terdapat di Sungai Modi Khola. Tingginya 135 meter dari paras sungai di bawah.

Jambatan ini merupakan salah satu pintu masuk ke trek ABC. Ia juga satu keajaiban buatan manusia, membina jambatan menggunakan kabel di kawasan terpencil tidak mudah.
Pada jambatan itu ada tercatat dihadiahkan oleh Kaldoorie, Agricutural Aid Association, British Gurkhas Nepal. Tapi sebelum itu, kami harus menuruni lebih 12,000 mata tangga, 44 kali lebih banyak dari yang terdapat di Batu Caves.
Turun sebenarnya lebih menyiksa dari naik. Ribuan mata tangga tidak mudah dituruni. Memang ABC, seperti juga Lembah Langtang, memberikan cabaran yang luar biasa.
>>>BERSAMBUNG
*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mendaki di Lembah Langtang, Nepal tahun lalu. Beliau banyak mendaki di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Nepal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

