Rumah pengumpul murai kampung diserbu

MANTIN – Kegiatan mengumpul pelbagai spesies burung liar hasil pemburuan, dipercayai untuk dijual dan dijadikan haiwan peliharaan, terbongkar selepas serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Broga di sini pada Rabu.
Serbuan Op Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 12.25 tengah hari.
Menurutnya, tiga lelaki termasuk seorang warga Vietnam telah disiasat.
“Dua serindit dan seekor rapang duit (red wattled lapwing) selain seekor kera telah disita hasil pemeriksaan di rumah itu.
“Nilai rampasan dianggar berjumlah RM5,000 dan kesemua tangkapan diberi jamin polis, manakala barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, suspek disyaki merupakan pengumpul murai kampung untuk pasaran tempatan.
Tambahnya, terdapat murai kampung dalam simpanan mereka dan suspek dipercayai turut menjalankan aktiviti penjualan spesies berkenaan.
“Jabatan masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan murai kampung yang mana spesies berkenaan tidak disenaraikan dalam jadual Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Kita turut menyiasat sama ada sekiranya terdapat spesies hidupan liar lain yang turut menjadi mangsa kegiatan suspek,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kegiatan mengumpul pelbagai spesies burung liar terbongkar di Kampung Baru Broga
- Serbuan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara bersama Batalion 4 Pasukan Gerakan Am
- Tiga lelaki termasuk seorang warga Vietnam telah disiasat
- Dua burung serindit, seekor burung rapang duit dan seekor kera disita dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM5,000
- Suspek disyaki pengumpul burung murai kampung untuk pasaran tempatan dan turut menjalankan aktiviti penjualan spesies berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
