Apa yang anda perlu tahu tentang kebakaran dahsyat di Hong Kong

Asap tebal dan api marak menjulang apabila beberapa blok pangsapuri di perumahan Wang Fuk Court, daerah Tai Po, terbakar.
Asap tebal dan api marak menjulang apabila beberapa blok pangsapuri di perumahan Wang Fuk Court, daerah Tai Po, terbakar.
A
A
A

HONG KONG – Sebuah kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kompleks pangsapuri tinggi di Hong Kong telah meragut puluhan nyawa, manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang, dalam insiden yang disifatkan sebagai tragedi paling buruk di bandar itu sejak beberapa dekad lalu.

Insiden mengejutkan itu berlaku di Wang Fuk Court, sebuah kompleks kediaman yang sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan di daerah Tai Po, utara Hong Kong. Kebakaran berlaku pada Rabu dan pantas merebak ke beberapa blok kediaman.

Kebakaran besar

Api marak di bahagian perancah buluh pada beberapa bangunan kediaman di Wang Fuk Court, yang terdiri daripada lapan menara setinggi 31 tingkat dengan keseluruhan 1,984 unit.

Pasukan bomba termasuk seorang anggotanya yang terkorban bertungkus-lumus memadamkan api sepanjang malam.

Jabatan Bomba Hong Kong mengesahkan sekurang-kurangnya 44 mangsa terkorban, manakala ratusan penduduk masih belum dapat dikesan.

Seramai 900 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala puluhan mangsa dirawat di hospital, termasuk beberapa dalam keadaan kritikal.

Anggota bomba menyembur air ke arah api ketika kebakaran besar terus memusnahkan beberapa blok pangsapuri di perumahan Wang Fuk Court, daerah Tai Po.
Anggota bomba menyembur air ke arah api ketika kebakaran besar terus memusnahkan beberapa blok pangsapuri di perumahan Wang Fuk Court, daerah Tai Po.

Artikel Berkaitan:

Bandar paling padat

Hong Kong merupakan antara kawasan paling padat di dunia, menjadikan sebarang bencana bandar berisiko tinggi.

Dengan populasi seramai 7.5 juta orang, ramai penduduk tinggal di kawasan berbukit yang terhad dari segi keluasan.

Kepadatan penduduknya melebihi 7,100 orang bagi setiap kilometer persegi — setanding dengan metropolis padat seperti Tokyo.

Kehidupan menegak

Hong Kong terkenal dengan rangkaian bangunan pencakar langit yang mendominasi latar langitnya. Sebahagian besarnya merupakan blok kediaman yang dibina bagi menampung keperluan perumahan populasi yang semakin meningkat.

Pembangunan kediaman baharu terutama tertumpu di kawasan New Territories, termasuk daerah Tai Po.

Menurut data Council on Tall Buildings and Urban Habitat, Hong Kong memiliki 569 bangunan melebihi 150 meter jumlah tertinggi di dunia.

Peranan perancah, angin dan bahan mudah terbakar

Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun penyiasat memberi tumpuan kepada kemungkinan penggunaan bahan binaan mudah terbakar yang dikatakan mempercepatkan penyebaran api.

Polis telah menahan tiga lelaki daripada syarikat pembinaan yang terlibat, atas dakwaan kecuaian melampau sehingga menyebabkan kebakaran itu "merebak pantas dan di luar kawalan".

Bahagian luar bangunan kediaman berkenaan dipenuhi perancah buluh, selain dilitupi jaring dan kepingan plastik, yang menurut siasatan awal tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran. Pegawai turut menemui buih pembungkusan yang sangat mudah terbakar dan dipercayai mempercepatkan penyebaran api.

Pada waktu kejadian, kelajuan angin sekitar 14 kilometer sejam direkodkan di kawasan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada penyebaran api yang lebih pantas. – AFP

Ringkasan AI

  • Kebakaran besar di kompleks pangsapuri Hong Kong meragut puluhan nyawa dan ratusan lagi dilaporkan hilang
  • Berlaku di Wang Fuk Court, Tai Po, kebakaran merebak pantas ke beberapa blok kediaman sedang diselenggara
  • Kebakaran membabitkan bangunan dengan perancah buluh, sekurang-kurangnya 44 orang terkorban, 900 dipindahkan
  • Hong Kong, kawasan padat dengan kehidupan menegak, memiliki risiko tinggi bencana bandar
  • Siasatan awal tumpu pada bahan mudah terbakar yang percepat penyebaran api, tiga lelaki ditahan atas dakwaan kecuaian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!