Dilanda banjir, malang penduduk Gaza bertimpa-timpa

GENTING GAZA – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, penduduk Palestin terus dirundung derita selepas terpaksa bergelut dengan banjir menenggelamkan khemah sementara yang menjadi tempat berlindung mereka.
“Keadaan ini berlaku pada permulaan musim sejuk. Kami bakal berdepan kesengsaraan lebih teruk kerana belum menerima khemah baharu bagi menghadapi cuaca lebih dingin untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
“Khemah dan terpal sedia ada yang digunakan sejak dua tahun lalu sudah terlalu lusuh,” kata Um Ahmed Aowdah sambil memandang sepi hujan yang masih belum reda.
Sementara itu, ketua rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin, Amjad al-Shawa berkata, kira-kira 300,000 khemah baharu diperlukan segera untuk diagihkan kepada 1.5 juta penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal.
Cuaca buruk yang melanda wilayah itu turut menghanyutkan sejumlah khemah setelah paras banjir terus meningkat.
Ribuan khemah yang menjadi tempat berlindung kebanyakan keluarga juga rosak akibat hujan lebat sejak lebih seminggu lalu.
Bencana tersebut menyebabkan beberapa hospital lapangan terpaksa menggantung operasi.
Pada Isnin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan ia sedang berusaha membawa masuk bekalan penting untuk musim sejuk ke Gaza berikutan Israel masih menyekat akses kemasukan konvoi trak.
Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, sekatan ketat masih dikenakan ke atas penghantaran bekalan bantuan, sekali gus membuktikan rejim Tel Aviv melanggar kesepakatan yang dicapai sebelum ini. - Agensi
Ringkasan AI
- Penduduk Palestin mengalami kesulitan akibat banjir yang menenggelamkan khemah sementara mereka di awal musim sejuk
- Khemah dan terpal yang digunakan sejak dua tahun lalu sudah terlalu lusuh dan tidak sesuai untuk keadaan cuaca sekarang
- Diperlukan segera kira-kira 300,000 khemah baharu untuk 1.5 juta penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal
- Cuaca buruk bertambah teruk dengan hujan lebat dan banjir yang menghanyutkan serta merosakkan ribuan khemah
- PBB berusaha membawa masuk bekalan penting untuk musim sejuk ke Gaza, namun Israel masih menyekat akses kemasukan konvoi trak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

