Wakil Astro Awani, Asri Shafii meninggal dunia selepas buat liputan banjir

KUALA LUMPUR - "Ayah sayang semua, jaga diri baik-baik."
Itu pesanan wakil Astro Awani di Perlis, Mohamad Asri Shafii dalam bentuk 'voice note' diterima isterinya, Norhanani Ahmad sebelum dikejutkan dengan khabar duka suaminya meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung.
Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 49 tahun awal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan mengenai proses evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai, Thailand.
Norhanani berkata, dalam perbualan terakhirnya bersama Allahyarham, suaminya itu menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah di Perlis kerana bimbang kediaman mereka turut dinaiki air.
"Dia (Mohamad Asri) memang ada sejarah sakit jantung sebelum ini dan mungkin dia terlalu penat membuat liputan semalam dan tak dapat berehat.
"Dalam masa sama, arwah risaukan kami sebab kawasan sekitar rumah dinaiki air dan kami terperangkap, jadi suami nak balik dulu tapi tak sempat.
"Dalam perjalanan pulang, kereta arwah naiki terperangkap banjir dan tidak dapat dihidupkan. Arwah turun dari kereta dan cuba menolak tetapi tiba-tiba dia rebah mungkin akibat serangan jantung dan lemas," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Allahyarham Mohamad Asri pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.
Selain Norhanani, Allahyarham turut meninggalkan enam orang anak dengan yang paling bongsu berusia 11 tahun.
Ringkasan AI
- Mohamad Asri Shafii meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung pada usia 49 tahun
- Allahyarham dalam perjalanan pulang selepas liputan proses evakuasi rakyat Malaysia di Hatyai semasa berlakunya banjir
- Norhanani, isteri Allahyarham, menerima 'voice note' daripada suaminya yang mengungkapkan sayang kepada keluarga sebelum kejadian
- Mohamad Asri mempunyai sejarah penyakit jantung dan rebah mungkin akibat serangan jantung ketika cuba menolong keretanya yang terperangkap banjir
- Selain isteri, beliau meninggalkan enam orang anak dengan yang bongsu berusia 11 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
