MWECC iktiraf pencapaian wanita melalui Anugerah Usahawan Wanita Global

MALAYSIA Women Entrepreneur Chamber of Commerce (MWECC) buat julung kali menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Wanita Global 2025 bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian luar biasa wanita dalam dunia perniagaan.
Presidennya, AvaGrace Law berkata, majlis yang berlangsung di Grand Imperial Restaurant, Pavilion, Kuala Lumpur itu bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita berani mengejar impian dan terus menyinar dalam pembangunan sosial serta ekonomi negara.
“Anugerah ini bukan sekadar satu penghargaan malah pengiktirafan menyeluruh terhadap usaha gigih dan pengaruh luar biasa usahawan wanita.
“Tanpa mengira saiz atau usia perniagaan, wanita berani berinovasi dan teguh berprinsip menjadi tenaga yang menggerakkan kemajuan masyarakat serta ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal menjadi peluang terbaik untuk memacu pelancongan, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meletakkan negara sebagai pusat penting organisasi usahawan wanita di peringkat global.
“Wanita bukan sahaja mampu memikul ‘separuh langit’ malah mempunyai keupayaan memacu reformasi ekonomi, transformasi perniagaan serta membawa perubahan kepada landskap dunia.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menyokong keusahawanan wanita dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk pakej sokongan RM270 juta melalui institusi perbankan terpilih serta pengukuhan berterusan dalam Belanjawan Negara bernilai RM50 bilion,” ujarnya.
Menurutnya, dasar ini selari dengan tiga misi utama MWECC iaitu membantu pembangunan perniagaan, memacu transformasi digital dan menggalakkan perdagangan antarabangsa.
“MWECC juga akan menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan membina platform serta menyatukan sumber global bagi memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan negara luar.
“Selain itu, kami menyediakan program pemerkasaan wanita seperti latihan kemahiran, peluang kerjaya dan sokongan ke arah autonomi ekonomi. Anugerah ini juga menjadi platform penting menonjolkan nilai wanita serta memperluaskan pengaruh mereka ke peringkat global,” kata beliau.
Dalam pada itu, Presiden Associated Chinese Societies of Commerce Malaysia, Datuk Seri Dr Robert Lim turut menegaskan bahawa wanita mempunyai keupayaan memikul tanggungjawab besar dan harus berani mengejar impian serta mengatasi halangan diri.
“Wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara serta menyumbang nilai yang tidak dapat digantikan dalam sektor perusahaan.
“Anugerah berkenaan memberi tumpuan kepada pengiktirafan tokoh wanita yang menyerlah dalam inovasi, kepimpinan, impak sosial dan pembangunan mampan. Majlis ini turut menjadi platform silang industri untuk meningkatkan kerjasama serta inspirasi dalam kalangan usahawan,” katanya.
Ringkasan AI
- MWECC menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Wanita Global 2025 untuk mengiktiraf pencapaian wanita dalam perniagaan
- Majlis ini bertujuan menggalakkan wanita untuk terus menyinar dalam pembangunan sosial dan ekonomi
- Tahun Melawat Malaysia 2026 dianggap sebagai peluang untuk mempromosikan pelancongan dan keusahawanan wanita
- Dasar pemerintah termasuk pakej sokongan RM270 juta dan Belanjawan Negara RM50 bilion bagi menyokong keusahawanan wanita
- Anugerah tersebut menonjolkan nilai wanita dan meningkatkan kerjasama serta inspirasi dalam kalangan usahawan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
