‘Saya hanya ada RM5’

Muhammad Afzan yang berniaga di Seksyen 15, Shah Alam kini terputus sumber pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Muhammad Afzan yang berniaga di Seksyen 15, Shah Alam kini terputus sumber pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A
A

SHAH ALAM - “Saya hanya ada RM5 dalam dompet. Saya tak tahu macam mana hendak tampung kehidupan sampai 14 April ini.”

Demikian luah seorang penjaja nasi kukus di Dataran Otomobil, Seksyen 15 di sini selepas kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhammad Afzan Ismail, 31, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, dia menerima kesan yang teruk selepas kerajaan memulakan perintah tersebut pada 18 Mac lalu.

“Saya tepuk dahi apabila mendengar pengumuman Perdana Menteri melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Sedih pun ada. Dalam dompet hanya ada RM5.

“Itu pun duit baki yang saya pinjam sebanyak RM100 daripada kawan untuk beli barang makanan. Cukuplah untuk makan lima enam hari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Muhammad Afzan (kiri) di hadapan gerainya yang menjual nasi kukus di Dataran Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam.
Muhammad Afzan (kiri) di hadapan gerainya yang menjual nasi kukus di Dataran Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam.

Dia yang tidak dapat menyembunyikan kesedihannya ketika temu bual itu menjelaskan, beliau hanya berserah kepada ALLAH untuk membantunya menempuh dugaan ini.

Muhammad Afzan yang tinggal di rumah sewa bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia 2 tahun berkata, dia tidaklah mempunyai wang simpanan yang banyak hasil daripada jualan nasi kukus.

Artikel Berkaitan:

"Duit hasil jualan digunakan untuk tampung komitmen seperti bayar rumah sewa, kereta, pekerja dan untuk kiriman duit kepada ibu di kampung.

“Purata maksimum keuntungan bersih saya dapat sekitar RM100 ke RM150 sehari bergantung kepada hasil jualan. Wang itulah saya gunakan untuk semuanya,” katanya.

Penjaja harap kerajaan hulur bantuan

Dalam pada itu, seorang penjaja pisang goreng berharap kerajaan dapat membantu penjaja yang terputus sumber pendapatan selepas kerajaan melaksanakan PKP bertujuan mengakhiri rantaian penularan wabak Covid-19.

Nor Hazsyazni Mohd Jais, 30, yang menjaja pisang goreng bersama suaminya, Tolkhah Abu, 36, di Taman Meranti, Bahau, Negeri Sembilan sejak lapan tahun lalu berkata, jualan pisang goreng itu adalah satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.

“Saya memang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Lagipun saya ada anak berusia empat bulan. Banyak wang diperlukan untuk keperluan bayi seperti susu, lampin pakai dan buang.

“Jadi saya harap kerajaan dapat memikirkan cara terbaik untuk membantu penjaja di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menjual pisang goreng itu adalah satu-satunya sumber pendapatan Nor Hazsyazni dan suaminya.
Menjual pisang goreng itu adalah satu-satunya sumber pendapatan Nor Hazsyazni dan suaminya.

Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Nor Hazsyazni yang mempunyai seorang lagi anak berusia 8 tahun berkata, dia meraih pendapatan sehari hampir RM500, namun sejak 18 Mac lalu dia dan suami terputus sumber pendapatan.

Katanya, mujur dia dan suami menyimpan sedikit hasil jualan untuk kecemasan, namun bimbang tidak dapat bertahan selama sebulan.

“Hari ini saya tiada sumber pendapatan. Wang simpanan sahaja jadi penyelamat. Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau ada juga datang menyalurkan bantuan keperluan kepada kami,” katanya.

Hampir 1.5 juta penjaja terputus sumber pendapatan

Sementara itu, dianggarkan hampir 1.5 juta penjaja berlesen di seluruh negara terputus sumber pendapatan ketika kerajaan pelaksanaan PKP.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, situasi itu berlaku kerana penjaja hanya meraih pendapatan harian dan tempoh PKP dijadualkan berakhir pada 14 April ini membuatkan mereka berdepan dengan kesengsaraan.

“Masyarakat penjaja ini sama seperti nelayan dan petani kerana hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kita ada keseluruhannya hampir 1.5 juta penjaja yang berlesen. Ini penjaja sahaja tidak termasuk keluarga mereka. Mata pencarian mereka adalah menjaja.

"Selebihnya mungkin ada dalam kalangan mereka tidak ada lesen. Yang terkesan adalah kedua-dua mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan yang dihadapi penjaja di Malaysia selepas kerajaan melanjutkan tempoh dua minggu PKP yang sebelum ini sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Rosli Sulaiman
Rosli Sulaiman

Rosli menambah, persatuan penjaja yang ada di setiap negeri disarankan memainkan peranan dalam usaha membantu ahli mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

“Di peringkat pusat kita minta supaya persatuan yang ada di setiap negeri dapat memberi bantuan kepada masyarakat penjaja yang amat memerlukan. Mereka ini lebih memahami masyarakat penjaja yang dalam kesusahan,” katanya.

Sebagai contoh, Rosli yang juga Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, lima persatuan induk mempunyai peruntukan bagi membantu mereka yang terjejas.

Katanya, beliau sudah bersemuka dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa supaya kerajaan membantu semua penjaja sepanjang tempoh PKP.

"Apa yang saya bincang dengan Menteri adalah minta penjaja ini diberi subsidi atau sumbangan wang tunai dan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka.

“Jumlahnya itu terserah kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Masyarakat penjaja sekarang memang amat terkesan apatah lagi bila ditambah tempoh PKP sampai 14 April,” katanya.