77,022 kg bahan kitar semula dikumpul di Selangor

Amirudin (empat dari kanan) dan Ramli (dua dari kiri) bergambar semasa Majlis Pelancaran SELKitar dan Penyerahan Lori Operasi di sini pada Selasa. - Foto/Rosli Talib
Amirudin (empat dari kanan) dan Ramli (dua dari kiri) bergambar semasa Majlis Pelancaran SELKitar dan Penyerahan Lori Operasi di sini pada Selasa. - Foto/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Program kitar semula Selangor mencatat perkembangan memberangsangkan apabila 77,022 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan setakat 31 Oktober lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu meliputi 300 taman perumahan melibatkan hampir 100,000 unit kediaman.

Menurut beliau, inisiatif itu hasil kerjasama strategik kerajaan negeri bersama Nestle Malaysia, WasteCare dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

"Pelaksanaan program ini bertujuan memastikan pengumpulan dan pengurusan kitar semula lebih tersusun," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran SELKitar dan Penyerahan Lori Operasi di sini pada Selasa.

Amirudin menjelaskan, program yang menyasarkan seramai 200,000 isi rumah kini berkembang melibatkan lebih 412,812 rumah dan premis di seluruh Selangor.

"Antara PBT (pihak berkuasa tempatan) terlibat dalam program itu ialah Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Ampang Jaya, Selayang dan Hulu Selangor.

"Selain itu, PBT lain bermula lebih awal seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang," tambah beliau.

Menurut Amirudin, kerjasama strategik itu turut membolehkan kerajaan negeri menjimatkan kos operasi.

"Hasil kutipan bahan kitar semula akan dijual semula dan dikembalikan kepada operasi untuk menampung kos keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kutipan caj plastik yang menyediakan peruntukan RM6 juta turut digunakan, namun tahun lalu hanya RM3 hingga RM4 juta dibelanjakan kerana kita mahu menilai kesediaan program,” katanya.

Jelas beliau, perkembangan positif itu juga menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula negeri yang naik daripada 12 peratus kepada 16 peratus.

"Kerajaan negeri akan terus memperluas inisiatif ini ke semua daerah, termasuk memberi insentif kepada pihak yang mengambil bahagian.

“Kita akan tambah baik, perluaskan program dan cari lebih ramai rakan strategik untuk memastikan Selangor berada di hadapan dalam agenda kelestarian,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya kekal komited menerajui transformasi sektor pengurusan sisa di negeri ini melalui pelaksanaan program berstruktur dan berimpak tinggi.

"Kita akan terus memperkukuh sistem pengurusan sisa Selangor melalui pelaksanaan program pendidikan berterusan, operasi pengasingan sisa lebih efisien dan penyediaan infrastruktur yang menyokong sasaran kadar kitar semula lebih tinggi," ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Program kitar semula Selangor mencatat perkembangan memberangsangkan dengan 77,022 kilogram bahan kitar semula dikumpulkan
  • Melibatkan 300 taman perumahan dan hampir 100,000 unit kediaman
  • Inisiatif kerjasama kerajaan negeri dengan Nestle Malaysia, WasteCare dan KDEB Waste Management
  • Menyasar 200,000 isi rumah dan kini berkembang melibat semester 412,812 rumah dan premis
  • Meningkatkan kadar kitar semula negeri daripada 12 peratus kepada 16 peratus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!