Tukar kenderaan rasmi Exco Johor keperluan, bukan pembaziran

FARKHAN
FARKHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pertukaran kenderaan rasmi barisan Exco Johor daripada Toyota Camry kepada Toyota Alphard disifatkan bukan pembaziran.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Farkhan Haron berkata, ketika ini menjadi satu keperluan memandangkan kenderaan rasmi sebelum ini telah digunakan sejak lima tahun sembilan bulan lalu.

"Kenderaan rasmi itu telah mencapai mileage yang tinggi dan kos selenggaraan yang meningkat. Maka penukaran adalah keperluan operasi, bukan pembaziran.

"Pertukaran kenderaan rasmi bukan keputusan suka-suka. Di Johor, setiap keputusan termasuk kenderaan rasmi mesti diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

"Ini keputusan pentadbiran yang mengikut tatacara kewangan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Isu pertukaran kenderaan rasmi Exco Johor menjadi tular selepas Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor minggu lalu meminta penjelasan kerajaan negeri.

Naib Ketuanya, Muhammad Harith Lokman berkata, keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai keperluan, keutamaan perbelanjaan dan ketelusan pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Farkhan berkata, Bersatu tidak patut menyembunyikan fakta bahawa pada 2020, ketika Johor di bawah pentadbiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerajaan negeri turut membeli kenderaan rasmi baharu iaitu Toyota Camry untuk kegunaan Exconya.

Jelas beliau, puncanya sama keadaan kereta lama yang digunakan iaitu Honda Accord ketika itu sering rosak dan kos selenggaraan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Bezanya cuma satu, dulu mereka beli, hari ini mereka bantah. Itu bukan prinsip. Itu politik bermusim," katanya.

Ringkasan AI

  • Pertukaran kenderaan rasmi Exco Johor daripada Toyota Camry kepada Toyota Alphard bukan pembaziran kerana keperluan operasi
  • Kenderaan sebelum ini telah digunakan selama lima tahun sembilan bulan dengan mileage tinggi dan kos penyelenggaraan yang meningkat
  • Setiap keputusan termasuk pertukaran kenderaan rasmi mesti diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor
  • Isu pertukaran kenderaan menjadi tular selepas Armada Johor meminta penjelasan kerajaan negeri
  • Pada 2020, ketika Johor di bawah pentadbiran Bersatu, kerajaan negeri juga membeli kenderaan rasmi baharu kerana kereta lama sering rosak dan kos penyelenggaraan tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!