Banjir: 2,681 mangsa di Selangor diarah pindah

Bomba Selangor melaksanakan pemantauan di lokasi terjejas banjir sejak Isnin. Foto Bomba Selangor
Bomba Selangor melaksanakan pemantauan di lokasi terjejas banjir sejak Isnin. Foto Bomba Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,681 mangsa membabitkan 736 keluarga diarahkan berpindah susulan banjir di Selangor sejak Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan setakat jam 8 pagi, Selasa.

Menurutnya, lima daerah terjejas ialah Hulu Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Petaling.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman mencatat antara mangsa tertinggi iaitu seramai 954 orang, diikuti SK Shah Alam Seksyen 16 (245 orang), Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 16 (256 orang) dan SK Sungai Binjai (188 orang).

"Selebihnya PPS lain masing-masing menempatkan antara 17 hingga 149 orang mangsa yang dipindahkan akibat terjejas banjir susulan hujan berterusan sejak semalam (Isnin)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, JBPM Selangor menjalankan 175 operasi pemantauan membabitkan 48 anggota daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Jelasnya, Ops Banjir masih dijalankan di beberapa lokasi antaranya Jalan Paip, Klang; Jalan Pekan Baru dan Jalan Rukun, Sabak Bernam dan Jalan Robinson, Ijok.

Sebelum itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga dilaporkan telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung sepanjang minggu ini.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seramai 2,681 mangsa membabitkan 736 keluarga di Selangor berpindah akibat banjir
  • Sebanyak 20 pusat pemindahan sementara diaktifkan
  • Lima daerah terjejas ialah Hulu Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Petaling
  • PPS Sekolah Kebangsaan Desa Aman mencatat mangsa tertinggi iaitu 954 orang
  • JBPM Selangor menjalankan 175 operasi pemantauan membabitkan 48 anggota

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!