533 petarung serbu WPMIC 2.0 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Lebih 533 petarung Muay Thai dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Labuan dan Singapura bakal berhimpun di Stadium Titiwangsa pada 7 Disember ini bagi menyertai Wilayah Pahlawan Muay Thai International Championship (WPMIC) 2.0, sekali gus menjadikannya antara kejohanan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Penganjur memaklumkan jumlah penyertaan yang tinggi itu menunjukkan perkembangan pesat sukan Muay Thai di negara ini selain mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan atlet tempatan dan serantau.
Kejohanan yang menghimpunkan peserta dari peringkat amatur hingga profesional itu turut menampilkan kategori tumpuan Super 4, yang mempertemukan petarung elit bagi merebut Tali Pinggang Pahlawan Super 4, gelaran paling berprestij kejohanan tersebut.
Pertandingan itu akan dikendalikan ketua pengadil dunia daripada International Facility Management Association (IFM) dan World Muaythai Council (WMC), Ryan Singto Rudkin dari Republik Czech.
Antara petarung profesional yang bakal beraksi ialah Sabri Thai V6 dari Thai Fight, Elias Ghazali yang pernah beraksi dalam ONE Championship, Asura Thiganesh dari kejohanan RWS serta bekas petarung ONE Championship, Azwan Che Wil.
Turut menjadi perhatian ialah kemunculan istimewa Mia Ghazali, adik kepada bintang sensasi Johan “Jojo” Ghazali, selain pertarungan melibatkan Shah GFC menentang juara dari Kemboja dan Amirul Padimas yang bakal berdepan Wawan “The Tank”, juara Muay Thai No. 1 Indonesia.
Menariknya, WPMIC 2.0 turut menganjurkan seminar eksklusif pada pagi 7 Disember bersama dua ikon Muay Thai, iaitu juara dunia dari Thailand, ‘Superbon’ Banchamek, serta bintang muda One Championship, Johan “Jojo” Ghazali.
Seminar itu memberi peluang kepada peminat untuk mempelajari teknik dan pengalaman terus daripada dua generasi juara yang jarang dapat ditemui dalam satu sesi.
Menurut penganjur, WPMIC 2.0 bukan sekadar kejohanan, tetapi platform pembangunan bakat dan perkongsian ilmu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat latihan dan pembangunan Muay Thai peringkat rantau.
Kejohanan dijadualkan bermula dengan seminar pada jam 8.30 pagi sebelum acara utama berlangsung pada jam 5 petang. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi www.pahlawanchampionship.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
