Forum Pengamal Konveyans perkukuh kerjasama urus tadbir tanah Selangor

SHAH ALAM – Forum dan Hi-Tea Pengamal Konveyans (urusan pindah milik hartanah) Selangor menjadi platform penting menghimpunkan pengamal undang-undang, pembuat dasar serta wakil agensi kerajaan bagi memperkukuh pembangunan pentadbiran tanah dan amalan konveyans di negeri ini.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan kepentingan kerjasama menyeluruh antara semua pihak bagi memastikan kelancaran urusan berkaitan hak milik dan transaksi hartanah.
Justeru, beliau memuji Majlis Peguam Selangor kerana berjaya menghimpunkan semua pihak berkepentingan.

"Forum ini perlu menjadi permulaan kepada semangat kerjasama baharu. Memecahkan silo (bekerja dalam komuniti sendiri) bukan semata-mata soal kecekapan, tetapi langkah penting memastikan hak rakyat terhadap harta tidak terhakis akibat sistem yang rumit dan terpisah.
"Kerjasama bukan hanya tentang kecekapan, tetapi aspek keselamatan. Kes seperti Huat Siang Hardware menunjukkan bagaimana satu langkah prosedur mudah boleh mengukuhkan peranan Pejabat Tanah dalam pencegahan penipuan. Ini membuktikan Pejabat Tanah bukan halangan, tetapi rakan strategik yang paling kritikal," katanya dalam ucaptama forum pada Isnin.
Terdahulu, forum terbabit dianjurkan Jawatankuasa Amalan Konveyans Majlis Peguam Selangor yang dipimpin Nurul Muhaniza Hanafi
Beliau mengingatkan bahawa kegagalan berurusan dengan Pejabat Tanah, seperti dalam kes Julian Chong, bukan sekadar kesilapan prosedur, tetapi kegagalan melindungi kepentingan anak guam.
"Semua institusi perlu terus komited kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan usaha pemodenan," ujarnya lagi.
Program itu memperlihatkan komitmen penganjur untuk memperkukuh standard profesional, meningkatkan kefahaman terhadap prosedur baharu serta mengukuhkan hubungan kerja antara Majlis Peguam dan agensi pentadbiran tanah.
Sepanjang forum, peserta diberi pendedahan mengenai isu-isu utama dan perkembangan semasa termasuk pengendalian penolakan Pejabat Tanah, penyelarasan prosedur, pelaksanaan e-SPA, penguatkuasaan perintah Syariah, pematuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) serta hala tuju terbaharu berkaitan e-invois.
Terdahulu, forum itu membariskan penceramah daripada agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Selangor, Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Forum turut melibatkan penceramah Jabatan Perumahan Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor ( LPHS) yang menunjukkan komitmen bersama untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keserasian profesional dalam amalan konveyans di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

