Sibuk berkempen tidak halang calon KDM, Henry Saimpon hadiri konvokesyen

Henry (kiri) semasa menghadiri Majlis Konvokesyen di UTM, Johor.
Henry (kiri) semasa menghadiri Majlis Konvokesyen di UTM, Johor.
A
A
A

TUARAN - Walaupun sibuk dengan aktiviti berkempen sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Henry Saimpon, 50, tidak melepaskan peluang untuk menerima segulung ijazah semasa Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Johor pada Isnin.

Anak jati Kiulu yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Sains Politik itu, akan bertanding lapan penjuru bagi merebut kerusi DUN Kiulu dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) pada Sabtu ini.

"Saya bersyukur kerana selepas bekerja keras beberapa tahun, akhirnya saya menamatkan program ijazah sarjana ini. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan penghargaan kepada para pensyarah atas bimbingan, ilmu pengetahuan, dan dorongan yang diberikan sepanjang pengajian.

"Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada keluarga atas sokongan moral dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan di masa hadapan, termasuk dalam arena politik," katanya ketika dihubungi selepas majlis konvokesyen itu.

Sebelum memasuki arena politik, Henry merupakan bekas pemain tengah Sabah dan pernah beraksi untuk pasukan Johor FC pada 2002 sebelum kembali ke Sabah (2004–2009).

Beliau turut dilantik sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak Sabah pada 2019 hingga 2020, dan berjaya membawa Sabah muncul juara Liga Perdana serta layak ke Liga Super.

Henry juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia) dan penyertaannya dalam politik mula ketara apabila dilantik sebagai Naib Presiden KDM pada 2023 ketika parti itu diterajui Datuk Peter Anthony.

Walaupun sibuk berpolitik namun ia tidak menghalangnya untuk mengejar kejayaan akademik dan hasil usaha gigih tersebut, beliau sebelum itu turut memperoleh Diploma Sains Politik dari UTM sebelum menyambung pengajian sehingga memperolehi Ijazah Sarjana di universiti yang sama.

Baru-baru ini, beliau melancarkan tujuh teras manifesto untuk rakyat DUN Kiulu di mana teras berkenaan menumpukan usaha memperhebat pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, memperkasakan industri pertanian, mengutamakan pemilikan tanah untuk penduduk tempatan serta mempercepat sistem Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, manifesto turut menekankan pemartabatan sukan, meningkatkan ekonomi termasuk eko-pelancongan, pendidikan dan kebajikan, serta mengangkat adat dan kebudayaan tempatan sebagai identiti masyarakat Kiulu.

 

 

Ringkasan AI

  • Henry Saimpon, calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menerima Ijazah Sarjana Sains Politik dari UTM
  • Beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri untuk kerusi DUN Kiulu
  • Henry pernah menjadi pemain tengah Sabah dan pengurus pasukan, membawa Sabah menjuarai Liga Perdana
  • Beliau juga Naib Presiden KDM pada 2023 dan aktif dalam NGO dan Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia)
  • Manifesto yang dilancarkan menekankan pembangunan infrastruktur, pertanian, pemilikan tanah, pemartabatan sukan, dan peningkatan ekonomi serta kebudayaan tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!