MTL: Orang ramai diingat tidak hampiri pantai, elak aktiviti air

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan pantai dan menghentikan semua aktiviti air berikutan keadaan ombak besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negeri ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tinjauan mendapati beberapa kawasan pantai popular seperti Pantai Pandak Chendering, Pantai Batu Buruk, Pantai Seberang Takir dan Pantai Tok Jembal kini berisiko tinggi susulan ombak kuat yang turut membawa batu, kayu dan sisa-sisa yang boleh mengundang kecederaan.
Menurutnya, orang ramai juga diminta mematuhi papan tanda amaran serta bendera merah yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan tidak sesekali mengabaikan arahan keselamatan di kawasan terlibat.
"Jika keadaan cuaca bertambah buruk, arahan berpindah atau amaran tambahan akan dikeluarkan oleh agensi bertanggungjawab.
"Jadi, kita nasihat kan orang ramai agar memberi kerjasama penuh dan mengikut arahan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Azli turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak kecil terutama di kawasan rendah yang mudah dinaiki air bagi mengelakkan risiko lemas atau terperangkap dalam arus deras.
Beliau berkata, polis akan meneruskan pemantauan keadaan cuaca serta meningkatkan rondaan di lokasi berisiko bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
"Kerjasama orang awam amat dihargai bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, rondaan akan dipertingkatkan di kawasan pantai popular seperti Pantai Teluk Lipat, Pantai Tanjung Jara dan kawasan rekreasi sungai dalam daerah Dungun bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan.
"Musim MTL membawa ombak besar, angin kencang dan hujan lebat yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung pantai serta kawasan rekreasi berhampiran sungai.
"Jadi, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak aktiviti riadah di pantai termasuk mandi laut, memancing atau berkelah.
"Arahan ini dikeluarkan bagi memastikan keselamatan masyarakat serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk," ujarnya.
Ringkasan AI
- Orang ramai diingatkan tidak menghampiri pantai dan menghentikan semua aktiviti air semasa Monsun Timur Laut
- Beberapa kawasan pantai popular dinyatakan berisiko tinggi akibat ombak kuat
- Orang ramai diminta mematuhi papan tanda amaran dan bendera merah
- Ibu bapa dinasihatkan memantau anak-anak kecil untuk mengelakkan risiko lemas
- Polis akan meningkatkan rondaan di lokasi berisiko bagi memastikan keselamatan masyarakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
