Penunggang motosikal maut, suami isteri parah kemalangan di Lipis

LIPIS – Seorang penunggang motosikal maut manakala pasangan suami isteri parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) bertembung dengan sebuah motosikal di Kilometer 7, Jalan Lipis-Benta, Kampung Salang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 pagi itu, penunggang motosikal, K Krisnamurthi, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, hasil siasatan awal mendapati SUV yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju rumahnya di Kampung Berchang bersama isteri dan anak lelaki mereka berumur sembilan tahun.
"Sementara itu, Motosikal ditunggang mangsa pula dari Kuala Lipis menghala pulang ke rumahnya di Taman Jelai, di sini.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, SUV berkenaan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, pemandu SUV mengalami kecederaan parah pada lengan dan mata kanan manakala isterinya berusia 50 tahun turut cedera parah di tangan kanan.
Jelasnya, namun anak mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Ismail memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati dan berhemah terutama ketika hujan.
“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan terselenggara dengan baik,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang penunggang motosikal maut dan pasangan suami isteri parah selepas SUV bertembung dengan motosikal di Kampung Salang, Lipis
- Penunggang motosikal, K Krisnamurthi, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian
- SUV dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Berchang bersama keluarga
- Pemandu SUV dan isterinya mengalami kecederaan parah akibat pertembungan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

