Rufinah fokus selesai isu infrastruktur, pendidikan dan ekonomi di Tulid

SOOK - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Datin Rufinah Pengeran akan memberi keutamaan kepada isu infrastruktur, pendidikan dan ekonomi sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.
Ini kerana katanya, beberapa kawasan di Tulid masih berdepan masalah kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, jalan raya dan jambatan yang memerlukan penyelesaian segera.
"Kalau diberi mandat oleh rakyat, saya akan memberi kemudahan kepada asas rakyat. Salah satunya adalah penyelesaian isu air bersih di kawasan Transbagalan Tulid dan Tulus Madi Tulid," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa kempen di Kampung Monggorimot di sini pada petang Sabtu.
Rufinah berkata, keadaan jalan raya juga perlu dinaik taraf memandangkan ia turut menyukarkan penduduk, lebih-lebih lagi bagi petani yang bergantung kepada laluan darat untuk membawa hasil pertanian ke pekan.
"Masih banyak lagi kita boleh bantu mereka untuk penambahbaikan jalan raya di sini termasuk jambatan yang sudah dikenal pasti. Ia penting untuk orang-orang kampung mengeluarkan hasil pertanian mereka dari kampung ke kebun.
"Isu jambatan kita sudah bawa kepada pegawai khas Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk beliau melihat sendiri keadaannya. Peruntukan memang sangat tinggi dan kerajaan negeri memang tidak boleh laksanakan tetapi kita akan usahakan untuk minta bantuan daripada kerajaan Pusat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut akan memberi tumpuan kepada pendidikan, khususnya peluang untuk rakyat menyambung pengajian ke peringkat tinggi dan sokongan pembelajaran di sekolah rendah.
"Anak-anak kita ini semua hebat-hebat tapi peluang mereka belajar tinggi sukar. Jadi, kerajaan Madani telah beri mereka peluang belajar secara percuma. Sekarang ini anak-anak kita bolehlah belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kita juga perlukan pusat tuisyen percuma untuk belajar dan bimbingan asas di peringkat sekolah rendah," katanya.
Sebelum itu, Rufinah berdepan dengan saingan 14 penjuru di DUN Tulid.
Ia merupakan pertembungan paling sengit kerana menyaksikan penyertaan paling ramai dalam satu kawasan pada PRN kali ini.
Ringkasan AI
- Tiga isu perlu perhatian di DUN Tulid ialah infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi
- Calon PH, Datin Rufinah Pengeran, prioritaskan isu tersebut jika menang PRN17
- Masalah kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan infrastuktur jalan perlu selesaikan
- Datin Rufinah fokus kepada peningkatan pendidikan dan peluang pendidikan lebih tinggi
- Beliau turut menghadapi pertandingan 14 penjuru di DUN Tulid dalam PRN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
