iLINDUNGu tingkat kesedaran pencarum

Steven Sim melawat salah satu reruai PERKESO yang menampilkan perkhidmatan Social Synergy, sistem bersepadu yang memudahkan penyaluran bantuan merentasi agensi.
Steven Sim melawat salah satu reruai PERKESO yang menampilkan perkhidmatan Social Synergy, sistem bersepadu yang memudahkan penyaluran bantuan merentasi agensi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Usaha memperluas pemahaman rakyat terhadap pelbagai skim dan perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus digiatkan melalui penganjuran Festival Mega iLINDUNGu, yang menjadi medan utama memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai hak dan kemudahan yang layak diterima.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, masih ramai pencarum yang tidak menyedari manfaat penuh yang ditawarkan PERKESO termasuk tuntutan sekiranya berlaku kemalangan, bencana kerja atau keilatan walaupun caruman dipotong daripada gaji setiap bulan.

Menurutnya, penganjuran festival itu membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat tepat secara langsung sambil menyemak status caruman masing-masing.

“Ramai hanya melihat potongan pada slip gaji tetapi tidak menyemak secara terperinci. Dengan adanya festival seperti ini, kita mahu orang ramai sedar apa sebenarnya manfaat menjadi pencarum PERKESO,” katanya ketika mengadakan jelajah mesra di Festival Mega iLINDUNGu yang berlangsung di Evoke di sini pada Sabtu.

Festival tersebut berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Tambah Steven, sambutan luar biasa ketika edisi pertama festival itu di Shah Alam telah menyaksikan tawaran Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sehingga 80 peratus menjadi tumpuan utama para majikan.

“Festival tersebut berjaya mengumpulkan lebih RM251,000 tunggakan caruman melibatkan 466 majikan.

“Semasa penganjuran di Shah Alam, kita menerima 660 majikan yang layak mendapatkan diskaun FCLB sehingga 80 peratus. Berdasarkan kiraan, jumlah keseluruhan FCLB RM2.08 juta namun selepas diskaun, bayaran perlu dibuat hanya kira-kira RM416,000,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, katanya, PERKESO sudah mengutip RM251,393.50 daripada 466 majikan manakala selebihnya sedang diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Berikutan respons memberangsangkan itu, tawaran diskaun FCLB diteruskan di sini selain pelbagai kemudahan lain seperti semakan caruman, pendaftaran skim LINDUNG, kaunter nasihat, temu duga pekerjaan, ceramah agama, saringan kesihatan, pertandingan e-Sukan, persembahan budaya dan aktiviti keluarga.

“FCLB dilaksanakan untuk memastikan majikan membayar caruman pekerja tepat pada masanya agar kebajikan mereka terjamin di bawah perlindungan LINDUNG Pekerja.

“Pelaksanaan khas sempena festival ini menunjukkan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO untuk memastikan tiada pekerja yang tercicir daripada perlindungan,” katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, sambutan pengunjung pada dua hari pertama festival menggalakkan apabila seramai 12,568 orang direkodkan hadir.

“Jumlah itu sekali gus menjadikan sasaran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dilihat mampu dicapai.

“Daripada segi pendaftaran FCLB, seramai 70 majikan hadir bagi membuat rayuan bayaran faedah caruman lewat bayar dengan jumlah keseluruhan tuntutan RM205,185.

“Daripada jumlah itu, PERKESO memberi pengurangan 80 peratus bernilai RM164,000 kepada majikan yang layak,” ujarnya.

Penganjuran festival turut membuka peluang pekerjaan apabila 27 majikan terlibat menawarkan lebih 2,000 kekosongan manakala sehingga kini 157 individu telah kembali bekerja dan 63 lagi berjaya melangkah ke sesi temu duga kedua.

Ringkasan AI

  • Festival Mega iLINDUNGu digiatkan untuk memperluas pemahaman rakyat tentang skim dan perlindungan sosial di bawah PERKESO
  • Masih ramai pencarum PERKESO yang tidak menyedari manfaat penuh yang ditawarkan termasuk tuntutan sekiranya berlaku kemalangan atau keilatan
  • Festival itu membuka ruang untuk masyarakat mendapatkan maklumat tepat secara langsung tentang hak dan kemudahan
  • Edisi pertama festival di Shah Alam menyaksikan sambutan luar biasa dengan tawaran Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) hingga 80 peratus
  • Selama tiga hari penganjuran, festival itu menarik 12,568 pengunjung dan membuka peluang pekerjaan dengan lebih 2,000 kekosongan yang ditawarkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!