Guru rugi RM604,000 terpedaya skim pelaburan berkonsepkan mesin judi

Seorang guru wanita kerugian RM604,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin judi sejak Ogos lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azizee)
Seorang guru wanita kerugian RM604,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin judi sejak Ogos lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azizee)
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang guru wanita kerugian RM604,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin judi sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerima laporan daripada mangsa berusia 57 tahun itu pada Khamis setelah menyedari ditipu.

Menurutnya, pada Ogos lalu mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Pelaburan Sentosa oleh seorang lelaki yang dikatakan sebagai ejen pelaburan.

"Suspek menawarkan skim pelaburan berasaskan mesin judi dengan janji pulangan sehingga 350 peratus dalam tempoh sebulan daripada jumlah yang dilaburkan.

"Mangsa yang berminat dengan pelaburan ini telah diarahkan melayari sebuah laman web bagi pendaftaran keahlian dan mula membuat pelaburan.

"Oleh kerana mempercayai tawaran pelaburan itu, mangsa antara 2 Oktober hingga 31 Oktober telah melakukan 20 transaksi wang ke dalam lima akaun bank berbeza,"katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Azizee berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM1.8 juta seperti dipaparkan dalam aplikasi pelaburan tersebut.

Katanya, mangsa yang mengesyaki telah ditipu dan tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azizee mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang ditawarkan dalam talian, khususnya melalui aplikasi atau media sosial.

"Penyertaan dalam skim pelaburan tanpa pengesahan pihak berautoriti amat berisiko. Masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan kesahihan mana-mana entiti atau individu," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang guru wanita kerugian RM604,000 akibat diperdaya oleh sindiket pelaburan dalam talian berkonsep mesin judi sejak Ogos
  • Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengatakan bahawa mangsa adalah wanita berusia 57 tahun yang membuat laporan pada polis setelah menyedari telah ditipu
  • Mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp Pelaburan Sentosa oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai ejen pelaburan, yang menawarkan pulangan sehingga 350 peratus sebulan
  • Mangsa melakukan 20 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza antara 2 hingga 31 Oktober atas dasar kepercayaan terhadap tawaran pelaburan tersebut
  • Mangsa menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran keuntungan sejumlah RM1.8 juta seperti yang dijanjikan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!