PAAB salur RM100,000 tingkatkan bekalan air dan kelestarian dua sekolah di Batu Pahat

BATU PAHAT – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyalurkan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja naik taraf infrastruktur bekalan air serta melaksanakan projek kelestarian di Sekolah Kebangsaan (SK) Gambut dan Sekolah Agama (SA) Gambut di Kampung Haji Bajuri di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAAB, Zulkiflee Omar, kedua-dua sekolah itu dipilih sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) bagi mengetengahkan pendekatan pendidikan, kebajikan dan kelestarian komuniti luar bandar.
Malah katanya, projek berkenaan turut melibatkan penambahbaikan terhadap kemudahan asas serta pendidikan digital bagi memastikan murid mendapat akses pembelajaran lebih selesa dan moden.

“Antara kerja naik taraf yang dilaksanakan merangkumi penggantian paip air lama yang digunakan sejak 1980-an dan pemasangan empat tangki air baharu berkapasiti 500 gelen setiap satu di SK Gambut.
“Manakala SA Gambut pula menerima sumbangan sistem pam baharu bagi memastikan tekanan air dapat dipertingkat, menaik taraf pusat sumber sekolah, penambahbaikan kantin dan kawasan pembuangan sampah yang lebih sistematik.
“Dalam aspek pendidikan, PAAB turut menyediakan Smart TV serta keperluan sekolah bagi menyokong pembelajaran digital, selain memberi fokus kepada aspek kesedaran alam sekitar di kedua-dua sekolah.
“Inisiatif kelestarian lain yang disediakan termasuklah pembinaan rumah hijau (greenhouse) untuk aktiviti tanaman organik, pemasangan sistem penuaian air hujan, penggunaan paip jimat air, serta program kitar semula dan pengurusan sisa bersama agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita.

Zulkiflee berkata demikian pada sidang akhbar Kempen Kesedaran PAAB sempena Karnival Keusahawanan di SK Gambut pada Sabtu.
Hadir sama Guru Besar SK Gambut, Herlman Mohd Karim, Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim dan Ketua Kampung Gambut, Sharif Ahmad.
Tambah Zulkiflee, Kampung Haji Bajuri dipilih berdasarkan garis panduan program Santuni Madani yang menetapkan setiap pemimpin agensi memilih kampung asal mereka sebagai kampung angkat.
Katanya yang berasal dari Kampung berkenaan, program tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti SWCorp, majlis daerah, polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, hospital, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ranhill SAJ Sdn Bhd bagi penganjuran aktiviti kesedaran komuniti.
“Usaha itu akan diteruskan sebagai komitmen bagi menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Ringkasan AI
- PAAB menyalurkan RM100,000 untuk naik taraf infrastruktur bekalan air dan projek kelestarian di SK Gambut serta SA Gambut di Kampung Haji Bajuri
- Inisiatif itu sebahagian daripada Program Satu Pemimpin Satu Kampung yang bertujuan meningkatkan pendidikan, kebajikan dan kelestarian komuniti luar bandar
- Kerja naik taraf termasuk penggantian paip dan pemasangan tangki air baru selain sumbangan sistem pam serta penambahbaikan infrastruktur sekolah
- Projek juga melibatkan penyediaan Smart TV, bahan pembelajaran digital dan inisiatif kelestarian seperti pembinaan rumah hijau serta sistem penuaian air hujan
- Pelaksanaan program dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi seperti SWCorp, majlis daerah, PDRM dan lain-lain untuk meningkatkan kesedaran komuniti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

