Ahmad Zahid akan desak Kabinet laksana MA63

KOTA KINABALU - Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mendesak Kabinet supaya hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau yang juga Presiden UMNO mengakui bahawa pelaksanaan MA63 adalah antara isu utama dan keutamaan bagi rakyat di negeri ini.
"Saya bersetuju perkara utama yang menjadi perhatian di Sabah ialah pelaksanaan MA63. Sebelum tahun 2018, Sabah telah diwakili oleh menteri dari negeri ini, manakala Sarawak diwakili oleh menteri dari Sarawak untuk memastikan perlaksanaan MA63 diterjemahkan dengan betul," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Sabtu.
Ahmad Zahid mengulas mengenai kenyataan seorang bekas menteri UMNO yang menyatakan MA63 membebankan dan perjanjian itu sepatutnya dibatalkan jika tidak dapat dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa keadaan sekarang adalah kesinambungan daripada apa yang telah diperakukan dalam kerajaan BN sebelum ini.
"Sekarang ini, apabila Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri diberikan mandat oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan MA63, ia merupakan kesinambungan kepada apa yang telah diperakukan di dalam kerajaan BN yang lalu.
"Saya yakin dengan kepercayaan kerajaan BN, MA63 pasti dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau sendiri akan mendesak Kabinet supaya hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 dilaksanakan sepenuhnya.
"Insya-ALLAH, Datuk Seri Arthur juga sebagai rakan komponen dalam BN Sabah akan menyuarakannya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mendesak sendiri kabinet supaya hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya Beliau yang juga Presiden UMNO mengakui bahawa pelaksanaan MA63 adalah antara isu utama dan keutamaan bagi rakyat di negeri ini Sebelum tahun 2018, Sabah dan Sarawak diwakili oleh menteri dari negeri masing-masing untuk memastikan MA63 diterjemahkan dengan betul Ahmad Zahid menegaskan bahawa keadaan sekarang adalah kesinambungan daripada apa yang telah diperakukan dalam kerajaan BN sebelum ini Beliau sendiri akan mendesak kabinet supaya hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 dilaksanakan sepenuhnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
