'Arif Aiman masih belum pulih' - Munoz

Arif Aiman
Arif Aiman
A
A
A

 

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz mengesahkan pemain lincah, Arif Aiman Hanapi bakal terlepas beberapa aksi bersama pasukan itu kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika ini.

Menurut Munoz, kelibat pemain itu sudah pasti dirindukan penyokong skuad Harimau Selatan yang tidak dapat melihatnya beraksi dalam tempoh yang masih belum dapat dipastikan.

"Kami sentiasa gembira apabila Arif (Aiman) beraksi di padang sama ada bersama skuad kebangsaan atau JDT tetapi dalam situasi sekarang kami kehilangan pemain yang penting dan berharap proses pemulihan berjalan dengan baik.

"Malah, kami berharap Arif akan kembali beraksi dengan lebih bertenaga namun perlu tunggu dan tidak pasti bila dia akan beraksi.

"Itulah bola sepak ada ketika prestasi terbaik dan juga bersedia untuk berdepan masa kesukaran yang tidak boleh dielakkan," katanya.

Beliau yakin Arif sedang berusaha dengan bantuan pakar perubatan untuk kembali beraksi.

"Untuk pengetahuan semua saya tidak dapat informasi mengenai status sebenar kecederaannya tapi apa yang difahamkan kecederaan dia tidak boleh dimaklumkan kepada anda," katanya.

Mengulas kemenangan 7-1 berdepan Melaka FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Munoz menyifatkan kesebelasan pemain telah mempamerkan aksi mantap di sepanjang perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, barisan pemain skuad Harimau Selatan itu kembali beraksi dengan bertenaga dan mempamerkan aksi permainan berintensiti tinggi bagi memburu kemenangan.

"Kemenangan ini juga akan meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi pemain untuk berdepan kelab Australia, Melbourne City FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Rectangular Melbourne, Selasa ini.

"Bagaimanapun, kami berdepan kesukaran untuk memecah benteng Melaka FC yang bermain secara bertahan hingga memaksa kami kerap melalukan rembatan bola dari luar kotak penalti dan merancang `set-piece'.

"Namun keinginan untuk memburu kemenangan menyuntik semangat buat pemain JDT mengubah corak permainan dengan bergerak di posisi sayap kiri dan kanan.

Sementara itu, Munoz enggan menyalahkan mana-mana pemain terutamanya ketika mengulas mengenai kegagalan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sehingga memberikan ruang buat pemain Melaka FC, Abdul Azim Rahim menjaringkan gol dan sekali gus memadamkan rekod tanpa bolos penjaga gol kebangsaan itu,

"Perkara seperti ini mungkin terjadi dan bukan salah Ahmad Syihan, malah kesilapan itu juga memberi pengajaran berguna buat penjaga gol.

"Apa pun, kita berharap situasi seperti itu tidak akan berulang lagi," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!