PN sedia kerjasama dengan parti tempatan Sabah, kekal pendirian tolak PH

KOTA BHARU — Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah, namun menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kesediaan itu akan dipertimbangkan selepas pilihan raya, sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti menunjukkan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
“Kalaulah tidak ada satu parti yang secara sendiri boleh menubuhkan kerajaan negeri Sabah, mungkin akan ada rundingan selepas pilihan raya.
“Tapi semestinya bukan bersama PH,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Isu Semasa Sidang DUN Belanjawan Kelantan peringkat Parlimen Kota Bharu di Dewan Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan bahawa pendirian PN terhadap PH tidak berubah dan menjadi garis dasar yang jelas dalam soal kerjasama politik.
Menurut Takiyuddin, rundingan terbuka PN itu meliputi parti-parti tempatan Sabah seperti Parti Warisan (Warisan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan mana-mana parti negeri lain yang berpotensi membentuk gabungan stabil selepas PRN.
“Warisan, parti-parti Sabah lain, STAR dan sebagainya kita boleh pertimbangkan, tiada masalah,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah turut berpandangan bahawa landskap politik Sabah menjadikan pembentukan kerajaan oleh satu parti dominan sebagai sesuatu yang sukar.
Hari pengundian bagi PRN ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal pada 25 November.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) terbuka untuk rundingan kerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah tetapi menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)
- Kesediaan itu akan dipertimbangkan selepas pilihan raya, sekiranya tiada parti berjaya memperoleh majoriti
- Pendirian PN terhadap PH tidak berubah dan menjadi garis dasar dalam soal kerjasama politik
- Rundingan terbuka PN juga meliputi parti-parti lokal Sabah seperti Parti Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti negeri lain
- Pilihan Raya Negeri Sabah melibatkan 73 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 29 November dan undi awal pada 25 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

