[VIDEO] Mayat mangsa dihanyut arus sejauh 65 km
KUALA LUMPUR - Mayat mangsa yang dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini ditemui dalam jarak 65 kilometer (km) dari lokasi kejadian pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat lelaki tempatan dikenali K Suresh, 37 itu dijumpai di kawasan perangkap sampah Kampung Sungai Kandis di Shah Alam pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, mayat disahkan sebagai mangsa kes terbabit berdasarkan pengesahan tatu di tangan kanan yang tertulis namanya selain daripada pengecaman secara fizikal oleh ahli keluarga mangsa.
"Operasi di hari kelima melibatkan kekuatan 200 keanggotaan pasukan penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Operasi pencarian juga telah menggunakan unit dron dan unit anjing pengesan (K9) bomba.
"Kawasan pencarian telah dibahagikan mengikut tahap di mana hari pertama kita pergi sejauh 22 km dan pada hari yang kedua kita telah pergi sejauh 26 km dan seterusnya pada hari semalam (Khamis) serta hari ni diluaskan sejauh 36 kilometer," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat ditemui dalam keadaan yang masih sempurna, namun ada kesan koyakan pada baju.
Tambahnya, mayat berkemungkinan boleh dihanyutkan lebih jauh sehingga ke Pelabuhan Klang sekiranya tidak tersangkut di kawasan perangkap sampah.
Katanya lagi, mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan dijangka akan diserah kepada pihak keluarga pada Sabtu.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini telah ditutup sepenuhnya pada jam 3 petang," ujarnya.
Menurut beliau, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Isnin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung satu kejadian banjir yang melibatkan mangsa.
Susulan panggilan tersebut, satu jentera bersama anggota dari BBP Titiwangsa dan balai bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.
Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali di mana 11 mangsa terdiri daripada seorang warga Malaysia dan 10 warga asing berjaya diselamatkan, manakala seorang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan sejurus menyedari kehadiran kepala air.
Ringkasan AI
- Mayat mangsa dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma ditemui 65 kilometer dari lokasi kejadian
- Mayat lelaki tempatan berusia 37 tahun dikenali sebagai K Suresh ditemui di perangkap sampah Kampung Sungai Kandis, Shah Alam
- Pengesahan tatu pada tangan kanan dan pengecaman fizikal oleh ahli keluarga mengesahkan identiti mangsa
- Operasi pencarian hari kelima melibatkan 200 anggota dari PDRM, JBPM, APM, DBKL, dan NGO dengan penggunaan dron dan anjing pengesan
- Operasi mencari dan menyelamat ditutup sepenuhnya pada hari penemuan mayat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
