'Terduduk lesu selepas urin positif'

Seorang nakhoda bot ditahan AADK ketika operasi bersepadu bersama Maritim Malaysia selepas saringan ujian air kencing didapati positif dadah di perairan Klang. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Seorang nakhoda bot ditahan AADK ketika operasi bersepadu bersama Maritim Malaysia selepas saringan ujian air kencing didapati positif dadah di perairan Klang. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Hanya mampu terduduk. Itu reaksi seorang nakhoda bot penumpang selepas ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif dadah ketika pemeriksaan dalam operasi bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor.

Semasa temu bual awal dilakukan pegawai AADK Selangor, lelaki berusia lingkungan 40-an itu hanya mendakwa tiada apa-apa barang salah diambilnya.

Namun, saringan awal ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

"Saya dah lama tak hisap (dadah) ini bang. Cuma sekali sekala. Ambil barang (dadah) sebab kerja malam, nak elak mengantuk.

"Kerja saya dua minggu kerja, dua minggu cuti. Ini pun kadang-kadang kawan yang belanja (beli dadah)," dakwa bapa kepada dua anak yang menetap di Kampung Delek, Klang.

Operasi bersepadu itu dijalankan bermula jam 7 petang, Rabu, di perairan Klang sehingga Kuala Selangor bagi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan perairan.

AADK melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap individu semasa operasi bersepadu bersama Maritim Selangor di perairan Klang hingga ke Kuala Selangor. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
AADK melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap individu semasa operasi bersepadu bersama Maritim Selangor di perairan Klang hingga ke Kuala Selangor. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Pelaksanaan operasi juga berdepan cabaran apabila berdepan cuaca hujan dan laut bergelora.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap AADK Selangor berkata, pemeriksaan dijalankan khususnya ke atas bot nelayan dan penumpang.

Menurutnya, tujuan operasi itu adalah untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah supaya komuniti dan masyarakat bebas daripada masalah bahan terlarang.

"Operasi ini telah menahan seorang lelaki tempatan selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah ganja dan syabu sebelum diserah kepada AADK daerah untuk tindakan lanjut mengikut Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya kepada Sinar Harian selepas selesai operasi di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini.

Sebelum itu, bermula kira-kira jam 5.30 pagi, AADK Selangor bersama AADK Daerah Kuala Selangor serta Sabak Bernam telah menggempur satu lokasi di kawasan ladang kelapa sawit di pesisiran pantai Kuala Selangor dan berjaya menahan 26 lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah.

Katanya, lokasi itu antara hotspot di daerah Kuala Selangor yang telah dikenal pasti AADK.

Mohd Syafiq turut menjalankan pemeriksaan semakan dokumen terhadap pemandu dan penumpang bot. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Mohd Syafiq turut menjalankan pemeriksaan semakan dokumen terhadap pemandu dan penumpang bot. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

"Lokasi itu aktif di waktu pagi sebelum mereka (penagih) memulakan kerja. Dia (penagih) akan singgah di ladang kelapa sawit itu bagi mendapatkan bekalan dadah daripada tokan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Selangor, Mohd Syafiq Sazali berkata, operasi berakhir jam 2 pagi telah melaksanakan lima pemeriksaan bot dan tujuh individu dengan menjalani ujian saringan air kencing.

Jelasnya, daripada tujuh individu, seorang didapati positif dadah.

"Operasi sebegini akan dilaksanakan lagi dari semasa ke semasa. Tahun ini sahaja kita (Maritim Selangor) telah melaksanakan operasi bersama AADK sebanyak dua kali," ujarnya.

Pada masa sama, Maritim Selangor turut melaksanakan pemeriksaan undang-undang yang dikuatkuasakan termasuklah semakan lesen dan permit pengoperasian bot di laut.

Ringkasan AI

  • Nakhoda bot penumpang di Pelabuhan Klang positif dadah dalam operasi bersepadu AADK dan Maritim Malaysia
  • Lelaki itu mendakwa tidak mengambil barang salah sebelum ujian saringan
  • Operasi itu bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan perairan
  • Seorang lelaki ditahan selepas didapati positif dadah ganja dan syabu
  • Operasi melibatkan pemeriksaan bot nelayan dan penumpang, serta undang-undang berkaitan lesen dan permit pengoperasian bot

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!