Isteri di Perlis penyayang, tiada kes suami didera

SHAH ALAM - Perlis muncul sebagai negeri yang memiliki ‘isteri penyayang’ apabila tidak merekodkan sebarang kes suami didera isteri sejak 2020 hingga Julai 2025, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Data daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman menunjukkan Perlis mengekalkan angka sifar kes penderaan fizikal atau emosi terhadap suami selama lima tahun berturut-turut.
Rekod itu membezakan Perlis daripada 13 negeri lain yang ada antaranya mencatatkan peningkatan kes, termasuk pada 2022 yang menjadi tahun dengan jumlah tertinggi kes di peringkat nasional.
Perlis turut menjadi satu-satunya negeri di Semenanjung yang langsung tidak menyumbang kepada statistik penderaan terhadap suami dalam tempoh tersebut.
Negeri yang merekodkan jumlah kes yang agak rendah sepanjang lima tahun berkenaan pula ialah Pahang dengan 13 kes, Kelantan (15 kes), Negeri Sembilan dan Sabah (masing-masing 16 kes) dan Terengganu (17 kes).
Selangor mencatatkan keseluruhan 128 kes sejak 2020, menjadikannya negeri paling banyak melaporkan penderaan isteri terhadap suami.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kes suami menjadi mangsa penderaan isteri menunjukkan peningkatan ketara sejak lima tahun lalu apabila sebanyak 453 kes direkodkan dari 2020 hingga Julai 2025 mengikut data D11 Bukit Aman itu.
Statistik menunjukkan 44 kes dicatat pada 2020 meningkat kepada 74 kes pada 2021, kemudian melonjak kepada 100 kes pada 2022.
Bagaimanapun kes menurun sedikit kepada 71 kes pada 2023, namun angka berkenaan kembali meningkat kepada 96 kes pada 2024.
Ketua Penolong Pengarah D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja, 68 kes sudah direkodkan dan angka itu hampir menyamai jumlah sepanjang tahun lalu.
Katanya, perkembangan tersebut membuktikan trend penderaan terhadap suami semakin membimbangkan.
Ringkasan AI
- Perlis tidak merekodkan sebarang kes suami didera isteri sejak 2020 hingga Julai 2025
- Perlis mengekalkan angka sifar kes penderaan terhadap suami selama lima tahun berturut-turut
- Selangor mencatatkan keseluruhan 128 kes sejak 2020, menjadikannya negeri dengan jumlah kes paling banyak
- Jumlah kes suami didera isteri di Malaysia menunjukkan peningkatan dari 44 kes pada 2020 hingga hampir menyamai jumlah kes pada tahun sebelumnya dalam tempoh Januari hingga Julai
- Trend penderaan terhadap suami semakin membimbangkan mengikut Ketua Penolong Pengarah D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

