Lelaki miliki senjata tajam, pistol angin diberkas

Antara senjata yang dirampas polis dalam rondaan cegah jenayah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Antara senjata yang dirampas polis dalam rondaan cegah jenayah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki dengan merampas senjata tajam serta pistol angin dalam tangkapan berasingan semasa rondaan cegah jenayah (RCJ) di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki dibuat oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Taman Maluri, Cheras, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 26 tahun itu menemui satu alat renjatan elektrik, sepasang gari, sebilah pedang samurai, dua set walkie talkie serta enam unit telefon bimbit.

"Suspek kini direman empat hari sehingga Isnin untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 89 Akta Polis dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan anggota Balai Cheras di Taman Shamelin, Cheras, kira-kira jam 9 malam, semalam.

Katanya, pemeriksaan menjumpai enam butir kelongsong peluru pistol angin, sepucuk pistol angin, sebilah parang dan satu lampuh suluh.

"Suspek yang memiliki satu rekod lampau bersabit kes samun itu telah direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Tegasnya, selain memberi tumpuan kepada penugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran wabak koronavirus (Covid-19), pihaknya turut melaksanakan tugas harian kepolisan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Artikel Berkaitan: