HOYA Malaysia tingkat saringan awal kanak-kanak menerusi kempen A Million Visions

SHAH ALAM – HOYA Malaysia melaksanakan kempen A Million Visions dengan menyediakan pemeriksaan mata percuma di lebih 800 Kedai Pakar Optik (ECP) seluruh negara bagi menggalakkan pengesanan awal rabun dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah Urusan HOYA Malaysia, Lew Chee Quin berkata, kempen selama seminggu itu memberi fokus kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025.
“Berteraskan keyakinan bahawa setiap kanak-kanak berhak memiliki penglihatan yang jelas dan sihat, kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan masalah rabun kanak-kanak serta kepentingan saringan awal.
“Melalui usaha ini, HOYA Malaysia membantu ibu bapa mengambil langkah pertama melindungi mata anak-anak dengan menyediakan akses pemeriksaan mata yang profesional, mampu milik dan mudah didapati,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, HOYA komited membantu rakyat Malaysia melihat dengan lebih jelas selama lebih 30 tahun.
“Penglihatan bukan sekadar keupayaan melihat tetapi berkait rapat dengan peluang, pembelajaran dan kualiti hidup. Setiap anak berhak melihat dunia dengan jelas.
“Kempen A Million Visions akan mempergiatkan saringan awal dan meningkatkan kesedaran di seluruh negara. Apabila kesedaran diwujudkan dan tindakan awal diambil, kita bukan sahaja menjaga mata bahkan masa depan generasi akan datang,” jelasnya.
Chee Quin berkata, HOYA Malaysia turut mengetengahkan penerbitan kajian klinikal bertajuk ‘Effectiveness of DIMS Lens in Slowing Myopia Progression among Malay Schoolchildren’ oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai penutup kempen.
“Kajian ini merupakan yang pertama di Malaysia menilai keberkesanan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.) dalam kalangan murid Melayu. Ia dijalankan secara kajian rawak terkawal di Kuala Lumpur melibatkan 42 murid berusia tujuh hingga 12 tahun sepanjang tempoh setahun.
“Peserta dibahagikan secara rawak untuk memakai kanta MiYOSMART berteknologi D.I.M.S atau kanta penglihatan tunggal konvensional secara pemakaian penuh,” ujarnya.
Jelas beliau, hasil kajian menunjukkan keberkesanan ketara kanta MiYOSMART untuk kanak-kanak Malaysia.
“Selepas setahun, kanak-kanak yang memakai kanta D.I.M.S hanya mencatat perubahan rabun –0.16 diopter (D) serta pertambahan panjang aksial +0.07 milimeter (mm), menunjukkan perkembangan Myopia yang jauh lebih perlahan berbanding pengguna kanta penglihatan tunggal.
“Secara keseluruhan, teknologi tersebut berjaya mengurangkan kadar progresi sehingga 65 peratus. Kanak-kanak turut menyesuaikan diri dengan baik malah purata pemakaian mencecah sekitar 16 jam sehari,” ujarnya.
Dibangunkan bersama The Hong Kong Polytechnic University, Chee Quin berkata, kanta MiYOSMART berasaskan teknologi D.I.M.S turut disokong kajian antarabangsa.
“Penemuan tempatan ini mengesahkan bahawa teknologi tersebut sesuai dan berkesan untuk kanak-kanak di Malaysia. Menerusi kerjasama dengan rakan optik dan kempen A Million Visions, HOYA Malaysia terus memperluas jangkauan ke sekolah serta komuniti bagi menggalakkan saringan awal.
“Dengan gabungan inovasi berasaskan penyelidikan dan program kesedaran awam, HOYA Malaysia terus memperkasa keluarga melalui penjagaan mata dan pendidikan penglihatan bagi memastikan kanak-kanak mendapat akses kepada pemeriksaan dan rawatan lebih baik,” katanya.
Ringkasan AI
- HOYA Malaysia melaksanakan kempen A Million Visions dengan menawarkan pemeriksaan mata percuma di lebih 800 Kedai Pakar Optik seluruh negara untuk menggalakkan pengesanan awal rabun dalam kalangan kanak-kanak
- Kempen ini memberi fokus kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peningkatan masalah rabun serta kepentingan saringan awal
- Sebagai penutup kempen, HOYA Malaysia mengetengahkan penerbitan kajian klinikal yang menilai keberkesanan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.) dalam memperlambat perkembangan rabun dalam kalangan murid Melayu
- Hasil kajian menunjukkan ketara keberkesanan kanta MiYOSMART dengan teknologi D.I.M.S. untuk kanak-kanak Malaysia, mengurangkan kadar rabun sehingga 65 peratus
- Kanta MiYOSMART berasaskan D.I.M.S. ini disokong oleh kajian antarabangsa dan menerima pengesahan bahawa ia sesuai dan berkesan untuk kanak-kanak di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

