Pearly-Thinaah perlu terima cabaran tonjol aksi terbaik - Rosman

BEREGU wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah perlu menerima hakikat bahawa semua pihak mahu mereka memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, gandingan nombor dua dunia itu tidak boleh lari daripada situasi berkenaan termasuk sasaran tinggi yang ditetapkan susulan prestasi konsisten dipamerkan mereka sejak akhir-akhir ini termasuk menjuarai Masters Jepun 2025, Ahad lepas.
"Mereka tidak boleh elak daripada menjadi yang terbaik. Saya rasa mereka pun tahu, setiap kali bertanding, sasaran adalah tinggi.
"Kita perlu terima hakikat itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini pada Selasa.
Rosman berkata, naib juara dunia 2025 itu juga diharap terus mengekalkan konsistensi, meningkatkan prestasi dan bebas daripada sebarang kecederaan sebelum bersaing pada Sukan SEA 2025 di Thailand diikuti Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China, bulan depan.
Pearly-Thinaah muncul juara Masters Jepun menerusi kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun pada final kejohanan Super 500 di Kumamoto Prefectural Gymnasium.
Selain Masters Jepun, mereka juga telah merangkul dua lagi gelaran iaitu Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Pearly Tan-M Thinaah disarankan menerima hakikat tekanan untuk berprestasi tinggi dalam setiap kejohanan
- Beregu wanita itu dinilai atas prestasi konsisten dan jadi juara Masters Jepun 2025
- Rosman Razak menekankan pentingnya memelihara konsistensi dan kebugaran menjelang Sukan SEA 2025
- Pearly-Thinaah meraih kemenangan atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun dalam final
- Mereka juga memenangi Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
