Tiada agenda tukar Hamzah dengan Radzi Jidin - MP Gerik

Baru-baru ini, tular satu surat tanpa kepala surat rasmi mengandungi perkataan sulit, mencadangkan agar Bersatu menggantikan Radzi (kiri) yang juga Ahli Parlimen Putrajaya sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah (tengah).
Baru-baru ini, tular satu surat tanpa kepala surat rasmi mengandungi perkataan sulit, mencadangkan agar Bersatu menggantikan Radzi (kiri) yang juga Ahli Parlimen Putrajaya sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi jaminan bahawa tiada sebarang agenda menukar kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan Naib Presiden parti itu, Datuk Dr Radzi Jidin bakal dibincangkan pada malam Selasa.

Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob sebaliknya menegaskan bahawa pertemuan ahli-ahli Parlimen Bersatu dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman beliau di Bukit Damansara malam ini bukanlah satu mesyuarat khas, namun sekadar program jamuan makan malam dan sesi perbincangan rutin mengenai parti.

Menurutnya, kehadiran ahli-ahli Parlimen Bersatu ke rumah Presiden bukan sesuatu yang luar biasa.

Beliau turut menolak keras dakwaan wujud agenda menukar Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dengan Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen, sambil menyifatkan spekulasi itu sebagai 'naratif musuh' yang tidak berasas.

'Agenda pertemuan dengan Tan Sri Presiden perkara biasa. Datuk (Seri) Hamzah pun akan hadir. Ini bukan mesyuarat khas, tidak ada agenda menukar sesiapa.

"Lagipun, pertemuan malam ini (Selasa) telah dijadualkan lebih awal dan jemputan lisan sudah lama dikemukakan kepada semua ahli Parlimen. Justeru jika anda terlihat sebarang surat tular yang dakwa ada usaha tukar Hamzah dengan Dr Radzi, spekulasi itu tidak betul dan tiada asas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pergolakan antara kem Muhyiddin (kiri) dan Hamzah (kanan) dalam Bersatu kini sudah menjadi rahsia terbuka.
Pergolakan antara kem Muhyiddin (kiri) dan Hamzah (kanan) dalam Bersatu kini sudah menjadi rahsia terbuka.

Pada Ahad, tular satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Bersatu menggesa tindakan segera diambil ke atas individu tertentu bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Surat tanpa kepala surat rasmi yang tular itu mengandungi perkataan sulit, mencadangkan agar Bersatu menggantikan Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah.

Mengulas laporan mengenai surat mencadangkan ahli-ahli Parlimen menyokong usul pemecatan Hamzah yang tular, Fathul Huzir mempersoalkan kesahihan dokumen tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa tuduhan kononnya parti mahu membuang Hamzah sebagai Timbalan Presiden adalah tidak masuk akal.

"Surat yang dilihat hendak pecat Hamzah itu... siapa yang sahkan? Itu biasa dibuat musuh. Selagi tiada pengesahan dan tiada surat rasmi parti, kita tidak boleh ambil sebagai bukti. Itu cuma 'hearsay'.”

"Tak logik agenda hendak buang Timbalan Presiden. Siapa yang hendak buang itu?" tegasnya.

Fathul Huzir juga memaklumkan hampir semua ahli Parlimen Bersatu dijangka hadir kecuali Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang kini sedang bertanding sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan dua lagi wakil rakyat yang kini berdepan tindakan disiplin iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Fathul Huzir Ayob
Fathul Huzir Ayob

Beliau turut menjangkakan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal hadir walaupun Ahli Parlimen Indera Mahkota itu telah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu baru-baru ini.

Bukit Damansara dijangka menjadi tumpuan malam Selasa susulan laporan bahawa jamuan makan malam dianjurkan di kediaman Muhyiddin.

Pada masa sama, mesej mengenai kemungkinan diadakan program himpunan mempertahankan nasib Hamzah turut berlegar dalam kumpulan WhatsApp parti.

Bagaimanapun, Fathul Huzir menegaskan perkara itu tidak ada kena-mengena dengan kehadiran wakil rakyat Bersatu.

Hamzah sendiri turut menafikan wujud agenda tertentu mengaitkan majlis pertemuan dengan Presiden Bersatu dengan krisis dalaman parti itu ketika ini.

"Eh, presiden parti panggil mesyuarat dengan ahli Parlimen itu biasa. Kenapa kali ini drama sampai ada wawancara?” katanya kepada media pada Isnin.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dan Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas turut mengesahkan kepada media bahawa mereka hadir dan menyifatkan ia sekadar 'mesyuarat biasa'.

Hakikatnya, pertemuan ini berlangsung di tengah-tengah ketegangan dalaman Bersatu selepas pemecatan Wan Saiful dan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal.

Ketegangan itu memuncak apabila rakaman sesi pendengaran disiplin Wan Saiful bocor, dengan pengerusi lembaga disiplin Datuk Radzi Manan didakwa mengaitkan Hamzah dengan percubaan menjatuhkan Muhyiddin.

Namun Fathul Huzir memberi jaminan bahawa naratif pertelagahan adalah diperbesar-besarkan.

“Tiada agenda tukar Ketua Pembangkang. Tiada apa yang luar biasa pun.”

Ringkasan AI

  • Wakil rakyat Bersatu memberi jaminan tiada agenda menukar Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
  • Pertemuan ahli Parlimen Bersatu adalah untuk makan malam dan perbincangan rutin, bukan mesyuarat khas
  • Dakwaan agenda menukar Ketua Pembangkang digambarkan sebagai naratif musuh
  • Hampir semua ahli Parlimen Bersatu dijangka hadir kecuali beberapa yang berdepan tindakan disiplin ataupun bertanding dalam PRN
  • Tiada kaitan antara pertemuan ahli Parlimen Bersatu dengan krisis dalaman parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!