[VIDEO] Lantang pertahan Gaza mungkin punca Malaysia jadi sasaran ejen Mossad - Anwar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa pendirian Malaysia yang lantang mempertahankan Gaza menjadi punca negara ini menjadi sasaran kehadiran ejen Mossad selain penyeludupan senjata dan dadah.

Anwar berkata, atas dasar itu, kerajaan sudah mengambil langkah tambahan termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengenal pasti tindakan terbabit dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

"Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. Taklimat terbaharu diberi badan perisikan Malaysia.

"Memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti bukan saja kehadiran mereka tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar bercakap pada sesi waktu pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Anwar bercakap pada sesi waktu pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata demikian, menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah kerajaan bagi mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.

Anwar menjelaskan, badan perisikan Malaysia mengambil berat kehadiran ejen perisikan antarabangsa terutama daripada agensi keselamatan Israel, Mossad.

Justeru tegas beliau, langkah-langkah tambahan telah diambil, selain KDN juga sedang mengenal pasti dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya bahaya kehadiran badan-badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti.

"Seperti Yang Berhormat (Machang) sebut, memang (seorang pensyarah dari Palestin, Dr Fadi M R Al Batsh Fatma) dibunuh dan sebelum itu dikenal pasti beberapa tindakan lain yang kemudian diambil tindakan.

"Cuma mereka ini cukup canggih dan pantas. Banyak yang keluar lari (dari Malaysia) sebelum dapat dikenal pasti.

"Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang telah bersekongkol dengan ejen dipercayai Mossad menyeludup senjata dari Thailand dan kemudian ditangkap (serta) sekarang ini ditahan di penjara," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengenai masalah sistem autogate baru-baru ini yang gagal berfungsi baru-baru ini di pintu masuk utama negara.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar berkata, masalah berkenaan telah dapat diselesaikan.

"Alhamdulillah setakat ini sudah pun dapat diselesaikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!