KKR belum terima kertas cadangan caj masuk Jalan Genting Highlands - Alexander

Alexander bercakap pada sidang media semasa Majlis LAM Townhall 2.0 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa. - Foto: Bernama
Alexander bercakap pada sidang media semasa Majlis LAM Townhall 2.0 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang kertas cadangan daripada Genting Malaysia Berhad berhubung cadangan kutipan tol atau sebarang bentuk caj baharu untuk akses ke kawasan persendirian miliknya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini tiada dokumen atau permohonan rasmi dikemukakan kepada beliau.

"Saya belum terima apa-apa (kertas cadangan) daripada pihak Genting,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Lembaga Arkitek Malaysia Townhall 2.0 di sini pada Selasa.

Berhubung cadangan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan agar menggunakan istilah 'caj masuk' sebagai alternatif kepada tol bagi mengelakkan kekeliruan, Alexander berkata, cadangan berkenaan adalah wajar dan lebih mudah difahami.

"Saya setuju dengan pandangan beliau sebab bila sebut tol, ia mengelirukan. Tol ini kita biasa dengan lebuh raya. Jadi bagi saya, cadangan beliau supaya ia dipanggil "caj masuk” adalah lebih baik,” katanya.

Genting Malaysia Berhad sebelum ini telah mengesahkan akan mengenakan caj bayaran bagi kenderaan memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Berikutan itu, Ahmad Maslan menggesa agar pihak Genting memastikan pengecualian yang adil dengan hanya mengenakan caj bagi kenderaan memasuki kawasan terbabit bagi tujuan beriadah dan bukan sebagai caj menyeluruh kepada semua pengguna jalan raya. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • KKR belum menerima kertas cadangan dari Genting Malaysia Berhad untuk kutipan tol atau caj baharu
  • Menteri Kerja Raya belum terima dokumen atau permohonan rasmi dari Genting
  • Cadangan menggunakan istilah 'caj masuk' sebagai alternatif kepada tol untuk mengelak kekeliruan
  • Genting Malaysia Berhad akan mengenakan caj bayaran bagi kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands
  • Ahmad Maslan menggesa Genting memastikan pengecualian adil dengan hanya mengenakan caj untuk kenderaan beriadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!