Tiada pemimpin Kelantan dijangkiti Covid-19

Mohd Amar menyerahkan makanan kepada petugas kesihatan di Klinik Jembal di sini.
Mohd Amar menyerahkan makanan kepada petugas kesihatan di Klinik Jembal di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri memaklumkan tiada wakil rakyat, ahli mesyuarat atau pemimpin negeri yang positif wabak koronavirus (Covid-19)

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kesemua mereka yang hadir pada majlis solat hajat 13 Mac lalu berada dalam keadaan sihat.

“Tiada sakit (semua sihat). Siapa yang pergi solat hajat semua sihat, saya tengok perkembangan mereka di Facebook masing-masing.

“Macam biasa, Alhamdulillah, kalau semua (jemaah) saya tidak tahu, tapi Exco tak terlibat, minta doalah supaya tidak ada yang terkena,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan pimpinan kerajaan negeri yang menghadiri solat hajat di Masjid Muhammadi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di Klinik Jembal.

Pada 13 Mac lalu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut menyertai Solat Hajat Kesejahteraan Negara Menghindari Wabak Covid-19 di Masjid Muhammadi dekat sini yang diimamkan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Solat hajat itu turut disertai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan beberapa Exco lain.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amar juga memberitahu, wakil rakyat dan pimpinan kerajaan negeri masih turun padang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dalam berdepan dengan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar meminta semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.