Treler bawa bahan kimia terbakar

Anggota bomba sedang menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah treler yang terbakar pada Sabtu.
Anggota bomba sedang menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah treler yang terbakar pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM – Suasana di Kilometer 28 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dikejutkan dengan kebakaran melibatkan sebuah treler yang membawa muatan bahan kimia berupa metal oxide dipercayai aluminium atau zinc oxide pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil digerakkan ke lokasi kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima.

Menurutnya, dua balai bantuan turut dikerahkan iaitu BBP Cyberjaya dan BBP Shah Alam yang membawa unit Hazmat bagi menguruskan risiko bahan berkenaan.

Anggota bomba sedang menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah treler yang terbakar pada Sabtu.
Anggota bomba sedang menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah treler yang terbakar pada Sabtu.

"Setibanya pasukan di lokasi pada jam 9.43 malam, didapati kebakaran melibatkan bahagian treler yang membawa muatan metal oxide.

"Anggaran kebakaran adalah 80 peratus dan kerja pemadaman terus dijalankan ketika itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi melibatkan 23 pegawai dan anggota dari tiga balai.

Beliau berkata, pada jam 9.25 pagi Ahad, kebakaran disahkan berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum pasukan memberi tumpuan kepada usaha mengalihkan treler yang terbakar ke lokasi lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

"Pengalihan tidak dapat dilakukan menggunakan jengkaut kerana bahan dibawa amat mudah terbakar dan sentuhan besi boleh menghasilkan percikan yang berisiko mengakibatkan kebakaran semula.

"Selepas perbincangan, pasukan menggunakan teknik menolak treler ke cerun setinggi kira-kira lima kaki yang berlantaikan rumput," katanya.

Tambah beliau, kerja pengalihan diteruskan dan pasukan memastikan kawasan selamat sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan.

"Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden berkenaan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Terdapat kebakaran melibatkan sebuah treler yang membawa muatan bahan kimia di Lebuhraya Elite menghala ke KLIA
  • Penolong Pengarah JBPM Selangor segera menggerakkan jentera bomba ke lokasi kejadian
  • Kebakaran melibatkan 80% dari treler dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada keesokan harinya
  • Operasi pemadaman dan pengalihan treler melibatkan 23 pegawai dari tiga balai bomba
  • Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!