Lelaki 'ditembak' anjing peliharaan sendiri

PENNSYLVANIA – Seorang lelaki berusia 53 tahun nyaris maut apabila terkena tembakan yang dilepaskan secara tidak sengaja di kediamannya di Shillington, Amerika Syarikat (AS), Selasa lalu.
Menurut laporan New York Post, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika mangsa sedang membersihkan senapang patah miliknya itu di bilik tidur.
Senjata itu diletakkan di atas katil sebelum anjing peliharaannya tiba-tiba melompat kerana menyangka mangsa memanggilnya.
Keadaan itu menyebabkan katil bergegar sebelum senapang berkenaan meletup dan pelurunya mengenai bahagian belakang mangsa.
Kejadian itu disedari oleh anak lelaki yang bertindak menghubungi polis dan seterusnya membawa mangsa ke hospital.
Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas berjaya menjalani pembedahan.
Polis mengklasifikasikan insiden itu sebagai kemalangan dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Kejadian tembakan oleh haiwan peliharaan itu bukanlah pertama kali dilaporkan di AS kerana pada tahun 2018, Richard Remme dari Fort Dodge, Iowa, mengalami kecederaan di kaki selepas anjingnya, campuran pitbull dan labrador bernama Balew, secara tidak sengaja menarik picu pistol yang disimpan di pinggangnya semasa mereka bergurau.
Pada tahun 2019, bekas pemain bola sepak Universiti Negeri Louisiana, Matt Branch, kehilangan sebelah kaki selepas terkena tembakan dari senapang berburu yang dipijak anjing labrador miliknya ketika dalam perjalanan memburu di Mississippi.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 53 tahun di Shillington, AS nyaris maut apabila terkena tembakan dari senapangnya yang tidak sengaja meletup disebabkan oleh anjingnya
- Kejadian berlaku ketika mangsa membersihkan senapang di bilik tidurnya
- Anjing peliharaan melompat ke atas katil menyebabkan senapang meletup dan peluru mengenai mangsa
- Anak lelaki mangsa menghubungi polis dan mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan stabil selepas pembedahan
- Insiden ini diklasifikasikan sebagai kemalangan oleh polis dan masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
