Larian Keluarga Malaysia 2025 gegar Padang Merbok!

Ismail Sabri (kiri) menyampaikan medal dan replika cek kepada johan 10km kategori wanita.
Ismail Sabri (kiri) menyampaikan medal dan replika cek kepada johan 10km kategori wanita.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 berjaya mencapai sasaran melebihi 3,000 peserta apabila acara tahunan anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berlangsung meriah di Padang Merbok di sini pada Sabtu.

Suasana penuh semangat kekeluargaan mewarnai penganjuran tersebut yang turut menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha memupuk hubungan kekeluargaan dalam komuniti.

Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kehadiran peserta tahun ini tertumpu kepada kategori 3 kilometer (km) dan 5km yang disertai ibu bapa bersama anak-anak, pelajar sekolah, penuntut universiti selain kumpulan anak-anak istimewa.

Ismail Sabri bersama peserta LKM.
Ismail Sabri bersama peserta LKM.

Beliau berkata, penganjuran pada November selari dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sebagai sokongan kepada usaha kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam membina keluarga bahagia.

"LKM akan diteruskan pada tahun hadapan sebagai platform memperkukuh hubungan kekeluargaan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri turut menjelaskan, LKM merupakan antara inisiatif YKM mengumpul dana membantu seramai 1,000 anak yatim dan piatu di bawah jagaan yayasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri (tengah) menyampaikan medal dan replika cek kepada johan 10km kategori terbuka.
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan medal dan replika cek kepada johan 10km kategori terbuka.

Acara kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bertindak sebagai Duta LKM.

Bagi menyemarakkan penyertaan, YKM turut menawarkan hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama Perodua Axia tajaan Hajoon Group.

Turut ditawarkan motosikal Honda RS-X ditaja Perodua dan skuter elektrik Felo M One tajaan Good Buy Sdn Bhd.

Dalam pada itu, YKM turut merakamkan penghargaan kepada syarikat penyumbang dalam menjayakan LKM 2025, antaranya CGS International Securities Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Hevea Sports Arena Sdn Bhd, Muhafiz Security dan Milo.

Peserta menerima Perodua Axia ketika cabutan bertuah sempena LKM 2025.
Peserta menerima Perodua Axia ketika cabutan bertuah sempena LKM 2025.

Acara turut disertai beberapa tetamu kenamaan lain, antaranya bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Malaysia, Azizah Mohd Yatim; Timbalan Presiden ANGKASA, Profesor Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengarah Eksekutif Hajoon Group, Ikmal Hazlan Datuk Seri Ikmal Hisham.

Ringkasan AI

  • Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 berjaya mencapai sasaran melebihi 3,000 peserta
  • Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kehadiran peserta tertumpu kepada kategori 3km dan 5km
  • LKM dianjurkan selaras dengan Bulan Keluarga Kebangsaan untuk membina keluarga bahagia
  • LKM merupakan inisiatif untuk mengumpul dana membantu 1,000 anak yatim dan piatu
  • Acara dimeriahkan dengan hadiah cabutan bertuah termasuk Perodua Axia, motosikal Honda RS-X dan skuter elektrik Felo M One

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!