Jangan nafi hak Perlembagaan Sabah – Dominic Lau

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan digesa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan hak 40 peratus hasil bersih negeri itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan keputusan berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan hak Sabah.

Menurutnya, sekiranya Mahkamah Rayuan menerima hujah kerajaan persekutuan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes itu, semua keputusan serta perintah mahkamah akan terbatal dan dianggap tidak wujud.

“Keadaan ini hanya akan menjadikan hak Sabah sekadar janji dalam Perlembagaan tanpa kekuatan undang-undang. Ia sekali gus menjejaskan hak negeri secara serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dominic Lau turut menyifatkan tindakan kerajaan persekutuan tidak selari dengan komitmen yang pernah dinyatakan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan MA63.

“Rakyat Sabah tidak menuntut ‘penghormatan’, tetapi pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi. Kerajaan perlu segera membayar tunggakan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata, kenyataan kerajaan persekutuan bahawa pertikaian antara negeri dan persekutuan hanya boleh diputuskan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(b) juga mampu menggugurkan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi jika diterima.

“Tujuan kerajaan persekutuan jelas, mereka mahu menolak keputusan berkenaan dan tidak melaksanakan perintah mahkamah.

"Jika keadaan ini berterusan, rakyat Sabah perlu memberi isyarat melalui undi mereka bahawa kerjasama seperti ini tidak lagi diperlukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Dominic Lau mengingatkan bahawa perkembangan ini turut perlu diberi perhatian oleh rakyat Sarawak.

“Jika hari ini keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pun boleh diketepikan, tidak mustahil Sarawak pula akan berdepan situasi yang sama. Ini perkara yang perlu diteliti oleh rakyat Malaysia Timur,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa apa jua keputusan kes itu kelak, kepercayaan rakyat Sabah terhadap kerajaan persekutuan telah terjejas.

“Kerajaan bukan sahaja gagal membayar apa yang sepatutnya, malah mencipta halangan baharu. Janji untuk mempercepatkan pelaksanaan MA63 ternyata tidak selari dengan tindakan,” tambahnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Persekutuan digesa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tentang hak 40 peratus hasil bersih negeri itu mengikut Perjanjian Malaysia 1963
  • Tindakan kerajaan Madani mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi boleh menjejaskan kedudukan hak Sabah
  • Sekiranya Mahkamah Rayuan menerima hujah kerajaan persekutuan, semua keputusan mahkamah terbatal
  • Dominic Lau menegaskan kerajaan perlu membayar tunggakan yang telah ditetapkan mahkamah
  • Perkembangan situasi ini turut perlu diberi perhatian oleh rakyat Sarawak dan menjejaskan kepercayaan rakyat Sabah terhadap kerajaan persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!