Pekerja pos maut terperangkap dalam mesin surat

Acker ditemui meninggal dunia dalam mesin pengendalian surat USPS di Allen Park, Michigan.
Acker ditemui meninggal dunia dalam mesin pengendalian surat USPS di Allen Park, Michigan.
A
A
A

MICHIGAN – Seorang pekerja pos di Amerika Syarikat ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam mesin pengendalian surat di pusat pengagihan United States Postal Service (USPS) di Allen Park, Michigan.

Mangsa, Nicholas John Acker, 36, sebelum ini berkhidmat selama sembilan tahun dalam United States Air Force sebelum menyertai USPS sebagai mekanik kira-kira setahun lalu.

Kematian Acker disedari selepas tubuhnya ditemui dalam sistem penghantar bergelung di kawasan pusat pengagihan itu. Lelaki berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum pekerja lain menjumpainya.

Lebih menyedihkan, insiden menyayat hati itu berlaku hanya 10 hari selepas dia melamar teman wanitanya.

Acker dan tunangnya, Stephanie Jaszcz sedang merancang perkahwinan yang dijadualkan pada musim bunga tahun depan. 

Stephanie menyifatkan Acker sebagai seorang yang pemurah, penyayang dan sentiasa mengutamakan orang sekeliling.

“Dia bukan sahaja baik, tetapi itulah cara hidupnya. Dia sentiasa meletakkan orang lain dahulu,” katanya pada Jumaat.

USPS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya amat sedih atas kehilangan tersebut dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Acker.

Insiden berkenaan turut menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan di pusat pengagihan tersebut yang menggunakan mesin automasi dan penghantar surat berkelajuan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Prosedur keselamatan seperti larangan menghidupkan mesin ketika penyelenggaraan dipercayai sedang diteliti semula.

Bagi keluarga dan tunangnya, persoalan terbesar ialah bagaimana Acker boleh terperangkap dalam mesin itu dan berapa lama dia berada di situ sebelum ditemui.

Kematian itu bukan sahaja mengundang kesedihan mendalam, tetapi turut menjadi peringatan tentang pentingnya keselamatan di tempat kerja, terutama di sektor yang bergantung kepada operasi mesin berat dan automasi. -People

Ringkasan AI

  • Pekerja pos di Amerika Syarikat meninggal dunia selepas terperangkap dalam mesin pengendalian surat
  • Nicholas John Acker berkhidmat dalam United States Air Force sebelum menyertai USPS sebagai mekanik
  • Kematian Acker berlaku 10 hari selepas dia melamar teman wanitanya, sekali gus menyedihkan keluarga dan teman rapat
  • USPS menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Acker, menimbulkan persoalan keselamatan di pusat pengagihan
  • Keluarga dan tunangnya mencari jawapan bagaimana Acker boleh terperangkap dan keselamatan kerja di tempat bergantung automasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!