Hajiji, pemimpin parti serah borang tanding PRN Sabah ke-17

Hajiji (kanan) mengemukakan borang pencalonan pada proses penamaan calon PRN Sabah ke-17 DUN N12 Sulaman di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu. Foto Bernama
Hajiji (kanan) mengemukakan borang pencalonan pada proses penamaan calon PRN Sabah ke-17 DUN N12 Sulaman di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pemimpin parti politik menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Hajiji menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu bagi bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang dimenanginya pada PRN Sabah lepas dengan majoriti 3,099 undi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga penyandang kerusi DUN Lamag dimenanginya dengan majoriti 661 undi pada PRN yang lepas menyerahkan borang pencalonan beliau di Pusat Penamaan Calon Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Bung Moktar menandatangani borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag pada Sabtu. Foto Bernama
Bung Moktar menandatangani borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag pada Sabtu. Foto Bernama

Sementara itu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan borang pencalonan di Dewan Arena Masyarakat, Semporna bagi mempertahankan DUN Senallang dimenanginya dengan 4,631 undi.

Mohd Shafie (dua, kiri) selesai menyerahkan borang penamaan calon kepada SPR pada 9.22 pagi Sabtu di Dewan Arena Masyarakat Semporna. Foto Bernama
Mohd Shafie (dua, kiri) selesai menyerahkan borang penamaan calon kepada SPR pada 9.22 pagi Sabtu di Dewan Arena Masyarakat Semporna. Foto Bernama

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Kesenian Islam, Membakut untuk bertanding buat kali pertama atas tiket GRS di DUN Bongawan.

Artikel Berkaitan:

Beliau tewas bertanding di DUN itu mewakili PCS pada PRN lepas.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan untuk bertanding di DUN Sook bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyerahkan borang pencalonan di Dewan Masyarakat Tun Said Bin Keruak untuk bertanding di DUN Pintasan bawah GRS.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Peto Galim pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Majlis Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah (MAKSAK) Kota Kinabalu bagi mempertahankan DUN Inanam menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Ruji Ubii yang kali pertama bertanding pada PRN kali ini di DUN Merotai menggunakan tiket PH telah menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chin, Tawau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengiringi calon BN, Datuk Yakubah Khan yang mempertahankan kerusi DUN Karambunai dan Arfanshah Abdul Gafar bertanding di DUN Darau, menyerahkan pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon di Dewan MAKSAK Kota Kinabalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula mengiringi calon parti itu untuk DUN Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin yang mewakili PH di Dewan Seri Putatan, Putatan.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengiringi calon DUN Sri Tanjong Philip Yap juga mewakili PH di Dewan Komuniti Tawau, Tawau.

Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe pula menyerahkan borang pencalonan di Dewan Menara Hasil, Kota Kinabalu mewakili PH untuk bertanding di DUN Likas buat kali pertama.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 pada 29 November manakala undi awal pada 25 November. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding DUN Sulaman
  • Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi BN Sabah, menyerahkan borang pencalonan untuk DUN Lamag
  • Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertanding untuk mempertahankan DUN Senallang
  • Tan Sri Anifah Aman dari Parti Cinta Sabah bertanding di DUN Bongawan atas tiket GRS
  • Pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November dengan undi awal pada 25 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!