Pengawal keselamatan maut diserang: Polis tunggu laporan penuh bedah siasat

KUALA LUMPUR - Polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada 13 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd Zahari berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sejurus laporan berkenaan diterima untuk arahan lanjut.
"Laporan penuh bedah siasat berkenaan mengambil sedikit masa untuk diberikan kepada pihak polis.
"Penahan suspek pada peringkat awal mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebelum kes diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek kini diberikan jaminan polis berdasarkan penahanan pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup latihan abseiling dan rappelling Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling di sini hari ini.
Media pada 3 November lepas melaporkan siasatan kes berkenaan dikemaskini dengan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian pengawal keselamatan itu.
Mangsa, R Chandran, sebelum ini telah membuat laporan polis mendakwa suspek berusia 32 tahun itu telah mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya sebelum polis berjaya merampas satu pemetik api yang menyerupai pistol daripada suspek.
Mangsa dilaporkan diserang dan dicederakan oleh seorang penyewa lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ipoh ketika bertugas di pos kawalan pada 13 Oktober lepas.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek bertindak menampar, menumbuk dan memijak badan mangsa selepas permintaannya untuk ditemani ke blok lain ditolak kerana mangsa tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dirawat di Hospital Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang, namun pada malam hari sama, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menunggu laporan penuh bedah siasat untuk kes kematian pengawal keselamatan yang diserang di luar kondominium di Jalan Ipoh
- Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas menerima laporan bedah siasat
- Penahanan suspek bermula dengan Seksyen 324 dan kemudian diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Media melaporkan perubahan siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian pengawal keselamatan
- Mangsa diserang oleh penyewa lelaki di kondominium itu dan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mengalami kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
