Polis berkas tiga lelaki kes tembak di stesen minyak

Shazeli - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Shazeli - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis memberkas tiga lelaki untuk membantu siasatan berkaitan kes tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 35 tahun yang ditahan di sekitar Klang ini sedang direman sehingga 17 November depan.

"Siasatan masih dijalankan dan di peringkat ini, kita menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk elemen kongsi gelap dan sebagainya.

"Pelbagai aspek perlu dilihat termasuk latar belakang si mati (mangsa). Beri peluang dan ruang untuk pihak polis jalankan siasatan secara adil dan menyeluruh," katanya pada sidang akhbar pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Dalam kejadian 7 November lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit tular di media sosial.

Ia memaparkan individu menunggang motosikal, dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pelanggan yang sedang menggunakan perkhidmatan di stesen berkenaan.

Mangsa berusia 34 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan beberapa das tembakan pada bahagian dada dan perut.

Berikutan itu, polis mengesahkan mangsa merupakan individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan memiliki beberapa rekod jenayah lain.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menahan tiga lelaki untuk siasatan kes tembak di stesen minyak Bukit Tinggi, Klang
  • Suspek berusia 19 hingga 35 tahun direman sehingga 17 November ini
  • Siasatan meliputi elemen kongsi gelap dan latar belakang mangsa
  • Rakaman CCTV memaparkan kejadian tembakan pada 7 November lalu
  • Mangsa yang meninggal dunia akibat tembakan, memiliki rekod jenayah dan dikehendaki di bawah SOSMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!