Guru Malaysia di Jepun terima nota xenofobia, desak tinggalkan Yokohama

Nota berunsur xenofobia yang diterima Banden
Nota berunsur xenofobia yang diterima Banden
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang guru bahasa Inggeris warga Malaysia yang menetap di Yokohama, Jepun berdepan tindakan berbaur xenofobia apabila menerima nota yang mengarahkannya meninggalkan negara itu.

Memetik laporan portal berita South China Morning Post, guru berkenaan, Banden Tong, berkongsi gambar nota yang ditulis dalam bahasa Jepun dan dilekatkan pada pintu rumah serta keretanya di akaun Threads.

Dalam nota berkenaan, tertera mesej: "Faksi Konservatif Bandar Yokohama. Kepada warga asing, sila tinggalkan Jepun. Kamu tidak dialu-alukan di sini. Jepun tidak perlukan imigran. Cukai rakyat Jepun bukan untuk kamu. Pulanglah ke negara kamu."

Banden dilaporkan menemui nota tersebut sejurus pulang dari tempat kerja sebelum memuat naiknya ke media sosial sekali gus menarik ribuan reaksi termasuk lebih 800 komen yang majoritinya memberi sokongan kepadanya.

"Wahai konservatif, adakah kamu berpuas hati sekarang? Kerana kamu benar-benar telah menyakiti saya.

"Saya dari Malaysia dan sejak kecil mengagumi Jepun. Ibu bapa saya juga mencintai budaya Jepun, jadi saya membesar dengan perasaan itu.

"Tahun lalu, impian saya menjadi kenyataan. Saya membeli sebuah rumah dan kereta di Yokohama. Saya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris. Setiap hari saya gembira menghabiskan masa dengan pelajar-pelajar saya," katanya.

Susulan kejadian itu, Banden telah membuat laporan polis dan dimaklumkan bahawa rondaan keselamatan di kawasan kejiranannya akan dipertingkatkan.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian masyarakat Jepun apabila seorang wanita tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan pelajar pertukaran Malaysia tampil memohon maaf atas kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai orang Jepun, saya meminta maaf. Bukan semua warga asing jahat. Menilai orang sebagai satu kumpulan adalah tanda kemiskinan jiwa," ujar wanita itu.

Jepun kini berdepan tekanan berkaitan isu pekerja asing, imigresen dan identiti nasional ketika populasinya menyusut dan menua dengan cepat.

Walaupun warga asing hanya merangkumi kurang tiga peratus populasi negara matahari terbit itu, kerajaan telah memperluaskan skim visa kerja bagi mengisi kekurangan tenaga kerja, terutama dalam sektor pembinaan dan penjagaan warga emas.

Dalam masa sama, sentimen anti-imigran semakin menonjol di arena politik, khususnya selepas parti sayap kanan Sanseito yang membawa slogan nasionalis "Jepun Didahulukan" mencatat kejayaan besar pada pilihan raya Dewan Atasan Julai lalu apabila jumlah kerusinya melonjak daripada satu kepada 14.

Ringkasan AI

  • Seorang guru bahasa Inggeris warga Malaysia di Yokohama Jepun menerima nota xenofobia yang mengarahkannya meninggalkan negara itu
  • Nota itu dilekatkan pada pintu rumah dan kereta guru tersebut dengan mesej dari "Faksi Konservatif Bandar Yokohama"
  • Banden Tong, guru tersebut, berkongsi gambarnya di media sosial yang menarik ribuan reaksi dan sokongan
  • Banden membuat laporan polis dan keselamatan di kawasan kejiranannya dipertingkatkan
  • Insiden itu mencerminkan tekanan Jepun atas isu pekerja asing dan sentimen anti imigran yang meningkat di negara tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!