Sertai PKR kerana perjuangan, bukan jawatan - Tengku Zafrul

Program Interviu Sinar Harian bersama Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Program Interviu Sinar Harian bersama Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam bulan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ogos lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya 'membuka mulut' mengenai keputusan drastik yang dilakukan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menjelaskan, tindakan tersebut didorong oleh prinsip perjuangan politik yang lebih seiring dengan pendiriannya.

Menepis dakwaan kononnya tindakan beliau hanya kerana mahu mengejar kedudukan dan jawatan dalam kerajaan, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bagaimanapun menegaskan, langkah meninggalkan parti keramat orang Melayu dibuat selepas menilai secara mendalam hala tuju perjuangan parti berkenaan, khususnya di Selangor yang disifatkannya perlu banyak penambahbaikan.

"Saya tidak tinggalkan UMNO kerana kecewa, tetapi kerana perjuangan saya lebih selari dengan DNA PKR yang bersifat lebih majmuk dan terbuka.

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

"Saya percaya kepada perjuangan yang merangkumi semua kaum tanpa menolak hak Melayu dan bumiputera,” katanya dalam program Interviu yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.

Rentetan itu pada 8 Ogos, beliau dilapor mengesahkan telah menyertai parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonannya diterima dan kini merupakan ahli bagi cabang Ampang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas penyertaannya dalam PKR, Tengku Zafrul menegaskan mereka kekal baik meskipun kini berada dalam parti berbeza.

"Beliau (Ahmad Zahid) banyak memberi sokongan kepada saya sejak saya aktif dalam politik.

"Kami masih berhubung dengan baik dan saya berterima kasih atas dorongan beliau selama ini,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan beliau akan diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Tengku Zafrul menjelaskan beliau tidak pernah meminta jaminan kerusi atau kedudukan dalam parti.

Malah beliau juga menolak dakwaan bahawa penyertaannya dalam PKR bertujuan mengekalkan kedudukan dalam Kabinet.

"Saya sendiri tetapkan syarat, jika tamat tempoh sebagai Senator, saya tidak mahu bertanding dalam pilihan raya kecil. Ini bukan soal kedudukan, tetapi perjuangan.

"Saya juga tidak letak syarat untuk bertanding di mana-mana, namun kalau diberi peluang, saya terima tetapi kalau tidak pun, saya akan terus berkhidmat.

"Saya sertai PKR bukan untuk jawatan tetapi untuk membantu memperkukuh perjuangan kerajaan perpaduan,” tegasnya.

Ringkasan AI

  • Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR kerana prinsip perjuangan yang lebih sepadan
  • Beliau menepis tuduhan meninggalkan UMNO kerana mahu kedudukan, sebaliknya menyatakan perpindahan dibuat selepas penilaian terhadap hala tuju perjuangan UMNO
  • Tengku Zafrul menyatakan keyakinannya pada perjuangan yang merangkumi semua kaum tanpa mengabaikan hak Melayu dan bumiputera
  • Walaupun telah berpindah ke PKR, Tengku Zafrul mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • Tengku Zafrul menyatakan penyertaannya dalam PKR bukan untuk mendapatkan jawatan dalam Kabinet tetapi untuk memperkuat perjuangan kerajaan perpaduan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!