Pempengaruh belanja RM2.5 juta, kemaruk badan berotot

BEIJING - Seorang pempengaruh di China menjadi tular selepas mendakwa membelanjakan empat juta yuan (RM2.5 juta) untuk mendapatkan bentuk badan berotot dengan lapan ketulan perut (8-pack) melalui suntikan asid hialuronik.
Andy Hao Tienan, pencipta kandungan kecantikan dan fesyen di media sosial berkata, beliau menjalani 40 suntikan pada bahagian bahu, tulang selangka, dada dan abdomen, sekali gus menjadikannya individu pertama di China yang melakukan prosedur sedemikian.
Menurut South China Morning Post (SCMP), profil media sosial Hao menyatakan bahawa 20 peratus daripada tubuhnya kini mengandungi asid hialuronik iaitu bahan semula jadi yang berfungsi melincirkan sendi dan tisu penghubung.
Dalam pembedahan kosmetik, asid hialuronik biasanya digunakan sebagai bahan pengisi muka untuk menambah isi dan mengurangkan kedutan.
Namun, Hao merancang untuk mencapai 10,000 suntikan di seluruh badan dan kini telah mencapai 40 peratus daripada sasaran tersebut.
Hao mengaku memilih jalan kosmetik kerana gagal mendapatkan bentuk badan berotot melalui senaman biasa.
“Saya setuju bahawa otot tidak tumbuh pada orang yang pengecut. Tetapi kamu perlu faham, saya telah menerima begitu banyak suntikan dan saya bukan pengecut lagi. Kamu berani buat seperti saya?” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memohon rekod dunia Guinness bagi “abs tiruan paling tahan lama diperbuat daripada asid hialuronik” jika hasilnya kekal selama tiga tahun dan berjanji akan “mengetuk kacang walnut menggunakan otot perutnya dalam siaran langsung”.
Hampir lima bulan selepas prosedur itu, Hao berkata dia masih berpuas hati dengan hasilnya.
“Ia kelihatan lebih semula jadi dari masa ke masa. Garisan abs masih jelas dan tidak bergabung menjadi satu ketulan,” katanya.
Namun, pakar perubatan memberi amaran tentang bahaya prosedur itu.
Dr Li Jialun dari Jabatan Pembedahan Plastik Hospital Union di Wuhan menjelaskan bahawa suntikan besar-besaran asid hialuronik boleh menyebabkan kulit rosak dan saluran darah mati.
“Sebanyak 40 suntikan boleh menghancurkan lapisan kulit dan menyebabkan nekrosis,” katanya.
Tambahnya, otot tiruan mungkin kelihatan nyata ketika badan tidak bergerak, tetapi akan berubah bentuk apabila seseorang itu bergerak.
Laporan portal HK01 turut menyebut bahawa doktor menegaskan asid hialuronik hanya sesuai untuk suntikan kecil dan penggunaannya dalam jumlah besar boleh menyebabkan kecacatan bentuk.
Selain itu, proses membentuk otot secara keseluruhan memerlukan ratusan picagari bahan tersebut iaitu menjadikan kosnya jauh lebih tinggi berbanding membina otot melalui kaedah kecergasan semula jadi - Agensi
Ringkasan AI
- Pempengaruh di China belanja RM2.5 juta untuk bentuk badan berotot dengan suntikan asid hialuronik
- Mengalami 40 suntikan pada bahu, tulang selangka, dada dan abdomen, menjadikan pertama di China
- Asid hialuronik kini membentuk 20 peratus dari tubuhnya, bahan biasa untuk pengisi muka
- Berhasrat capai 10,000 suntikan sekaligus mencapai 40 peratus dari sasaran itu
- Pakar perubatan amaran risiko, termasuk kulit rosak dan saluran darah mati dari suntikan berlebihan asid hialuronik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
