Rakyat Pahang diseru nilai prestasi kerajaan negeri untuk kesinambungan pemerintahan - Wan Rosdy

Wan Rosdy pada sesi Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Selasa.
Wan Rosdy pada sesi Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Rakyat Pahang diseru menilai sendiri prestasi kerajaan negeri berdasarkan usaha dan tindakan yang telah dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan pemerintahan dapat diteruskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peluang Barisan Nasional untuk kekal memerintah bergantung kepada penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan dan pembangunan negeri.

"Kita tahu ahli politik akan menyerahkan semula kuasa kepada rakyat selepas tempoh lima tahun dan rakyat wajib menilai serta melihat prestasi Negeri Pahang.

"Dengan sokongan dan kerja keras semua pihak termasuk ahli politik, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin tempatan... kita yakin rakyat akan mengenang balik apa yang telah dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Selasa.

Wan Rosdy menegaskan kerajaan negeri juga berusaha memastikan rakyat Pahang yang terpinggir mendapat bantuan.

“Boleh dikatakan kita cuba sifarkan rakyat Pahang yang terpinggir daripada mendapat bantuan dan kita bukan (sekadar) cakap, tapi (telah) buat macam-macam.

"Sebagai contoh, Pahang Timur dan Pahang Barat (yang) kita nampak tidak apa seimbang pembangunannya, kita tubuh Majlis Pembangunan Pahang Barat untuk seimbangkan.

"Kemudian pelbagai bantuan kebajikan daripada ibu yang melahirkan bayi hingga warga emas dan (terbaru) pengurusan jenazah akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pakej lengkap dalam belanjawan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai turut menolak dakwaan Pahang tidak Islamik adalah tidak benar, malah kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan termasuk bantuan mengerjakan haji.

"Kita bagi duit poket sebanyak RM750 bagi mengerjakan haji, masjid ataupun surau yang boleh menunaikan solat Jumaat, kita bagi RM10,000. Kemudian kahwin kali pertama pula. RM300.

"Kerajaan negeri yang bagi rumah percuma kepada rakyat yang tidak mampu, hanyalah Negeri Pahang,” katanya.

Wan Rosdy memaklumkan, kesinambungan pemerintahan selepas pilihan raya akan datang penting untuk mengekalkan pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

“Apa yang telah dirancang, yang dibuat dan telah pun dilaksanakan ini, kena ada kesinambungan.

"Jadi kesinambungan itu yang kita hendak dan kesinambungan itu mesti datang daripada kerajaan yang ada pada hari ini.

"Insya-Allah kita akan tambah baik, kita akan tambahkan lagi apa-apa kekurangan, kita akan buat lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

Ringkasan AI

  • Rakyat Pahang diseru menilai prestasi kerajaan negeri
  • Peluang Barisan Nasional kekal memerintah bergantung penilaian rakyat
  • Kerajaan negeri berusaha memastikan rakyat terpinggir mendapat bantuan
  • Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai bantuan daripada kebajikan hingga pengurusan jenazah
  • Kesinambungan pemerintahan penting untuk pembangunan dan bantuan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!